Portal berita terbaik anda

Jenayah

Pukul kucing hingga mati, wanita mengaku tidak bersalah

BUTTERWORTH: Seorang broker wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan memukul seekor kucing betina dan seekor anak kucing sehingga mati dalam kejadian Disember tahun lalu.

Hah Choy Kheng, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan hakim Norhayati Mohamad Yunos.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan kejam memukul seekor kucing betina baka tempatan berwarna oren dan seekor anak kucing betina berwarna putih – kelabu dengan sebatang besi sepanjang 75 sentimeter sehingga menyebabkan kematian kedua-dua ekor kucing tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di bawah pokok berhampiran pondok berbumbung dalam kawasan padang permainan di Blok B1, Pintas Kalui 1,Seberang Jaya, Pulau Pinang pada jam 1.20 petang pada 29 Disember tahun lepas.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) dan boleh di hukum dibawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Pulau Pinang , Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh diwakili peguam, Shamsher Singh Thind.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Loading...

Leave a Reply