‘Hadi jumpa Mahathir bukan untuk melutut’

Seorang pemimpin PAS berkata, tindakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menemui Perdana Menteri di Putrajaya semalam bukan bermakna anggota parlimen Marang itu melutut kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik, ekoran tularnya beberapa keping gambar pertemuan tersebut ada juga pihak menyangka Abdul Hadi sudah membuat pusingan U kerana sebelum ini beliau begitu giat mengecam serta menyindir Dr Mahathir.

Sebaliknya kata Mokhtar pelbagai persepsi salah itu berpunca daripada kegagalan orang awam memahami pendekatan taawun (saling bertolong-tolongan) PAS.

“Mereka belum faham bahawa atas sifat taawun, PAS bersedia bekerjasama dengan siapa sahaja demi kebaikan Islam dan rakyat.

“Kalau Firaun masih hidup, PAS akan datang mengunjungi Firaun untuk menyampaikan dakwah demi Islam dan ummatnya,” kata calon PAS untuk kerusi parlimen Padang Besar semasa pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Mokhtar yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS menambah sehingga kini masih ramai orang gagal memahami konsep kerajaan perpaduan (UG) yang diilhamkan Abdul Hadi suatu ketika dulu.

Puncanya, menurut Mokhtar, idea dibawa anggota parlimen Marang terbabit bersifat mendalam dan sukar difahami oleh “orang biasa-biasa”.

Ramai terheret ke dosa

“Mereka lambat memahami maksud UG itu kerana orang yang melontar idea itu ialah seorang ulama lulusan pengkhususan politik islam.

“Idea dan istilah politik (beliau) yang sukar untuk dijangkau oleh orang biasa-biasa dlm politik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Semalam Abdul Hadi membuat kunjungan ke pejabat Dr Mahathir di Putrajaya bersama Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta bekas setiausaha agung PAS Mustafa Ali.

Tidak dapat dipastikan apakah yang dibincangkan oleh kedua-dua pihak terbabit, namun ia cukup untuk menarik perhatian ramai jika dilihat kepada hubungan di antara Dr Mahathir dan Abdul Hadi dalam konteks politik sebelum ini.

Abdul Hadi antara lain pernah menyarankan Dr Mahathir meninggalkan politik dan berkhidmat di Klinik 1Malaysia berdasarkan faktor usianya ketika ini.

Presiden PAS itu juga mendakwa Dr Mahathir gemar bercakap mengenai hal-hal bukan dalam bidangnya, termasuk melibatkan Islam.

“Dia ni dia nak cakap belaka. Agama nak bercakap, politik nak bercakap. Bab agama – Quran (dia) tak boleh terima semua, hadis tak boleh pakai, macam-macam,” katanya pada April lalu.

Mokhtar berkata langkah politik Abdul Hadi juga semakin sukar difahami kerana dicelarukan oleh fitnah di alam maya.

“Akhirnya kejahilan dan kebodohan telah mengheret sebahagian besar manusia kepada dosa-dosa fitnah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *