Guru maut kemalangan di LPT2

DUNGUN: Seorang guru wanita maut selepas kereta yang dipandunya merempuh pembahagi jalan di Kilometer 362.9 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu, Noraini Mohd, 34, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kereta Proton Persona dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa yang memandu bersendirian tercampak keluar daripada kenderaannya itu.

Pihak berkuasa juga menemui tiga bungkusan kertas jawapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, ketika kejadian, guru terbabit yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu, dalam perjalanan pulang ke Rembau sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

“Mangsa cedera parah di bahagian kepala, patah tangan dan kecederaan dalam badan dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *