Kerajaan jamin mansuhkan tol lepas kewangan pulih

0
905

KUALA LUMPUR ― Janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan tol seperti manifesto dapat dilakukan jika kewangan negara pulih, kata Lim Guan Eng.

“Beberapa janji-janji itu, yang kita mahu tunaikan, akan dilaksanakan apabila kewangan negara bertambah baik,” kata menteri kewangan kepada Malay Mail dalam wawancara di Putrajaya semalam.

Menghapuskan kutipan tol di banyak lebuh raya termasuk dalam 10 janji PH untuk ditunaikan dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Lim berkata kerajaan tidak ada pilihan kini selain menunggu kewangan membaik namun tidak menolak ia mahu dilaksana dalam 100 hari pertama.

“Kita tidak mempunyai pilihan. Kita perlu bertanggungjawab secara fiskal. Kita mahu kekalkan defisit bajet sebanyak 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya lagi.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu yakin PH akan memansuhkan kutipan tol. “Kita akan laksanakannya. Kita tidak akan putus asa,” tambahnya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kerajaan memerlukan lebih daripada 100 hari untuk menunaikan 10 janji dalam manifesto PH.

Dakwanya, janji PH itu dibuat ketika mereka tidak mengetahui keadaan kewangan negara, termasuk hutang dan tanggungan sebanyak RM1 trilion.

Umno, yang kini pembangkang utama, baru-baru ini mendakwa isu hutang sebesar itu disebut-sebut bagi mengelak menunaikan janji dalam manifesto.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here