GST telus tapi kos sara hidup meningkat – Guan Eng

0
109

KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng tidak menafikan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijalankan kerajaan terdahulu dilihat lebih telus dalam pelaksanaannya.

Disebabkan ketelusan itu, jelas Menteri Kewangan, kerajaan berjaya mengutip hasil yang lebih banyak berbanding pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pelaksanaan GST telah memberi impak dan tekanan yang meluas kepada setiap lapisan masyarakat, terutama kepada pengguna akhir.

“Kalau kita sebut, antara GST dan SST, yang mana lebih telus? Sudah tentu GST lebih telus.

“Bagaimanapun, apabila kita sebut GST lebih telus, maknanya ia boleh kutip lebih banyak cukai dengan lebih meluas dan juga mempunyai kesan kepada rakyat.

“Sedangkan SST, sungguhpun tidak setelus atau tidak efisyen seperti GST, kesannya kepada rakyat khususnya pengguna akhir, yang mana kita beri tumpuan dan keprihatinan, kurang beri impak kepada rakyat,” ujarnya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ahmad Maslan (BN – Pontian) yang meminta Menteri Kewangan membandingkan tahap ketelusan antara GST dan SST.

Lim pada masa sama tidak menafikan pelaksanaan SST akan memberi impak kepada rakyat.

“Kita tidak nafikan, kita bukan macam Barisan Nasional (BN) yang menyatakan bahawa GST akan menyebabkan harga barang turun, tidak. Kita tidak akan nafikan hakikat sebenarnya yang berlaku.

“Bagaimanapun, apa yang penting ialah impak kepada SST adalah kurang daripada GST.

“Kerana, GST mengutip RM44 bilion sementara SST hanya RM21 bilion, iaitu pengurangan RM23 bilion,” ujarnya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN – Ayer Hitam).

Mengulas lanjut, bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, Lim berkata, GST merangkumi 60 peratus daripada Bakul Barangan dan Perkhidmatan Indeks Harga Pengguna (CPI) berbanding SST yang hanya merangkumi 38 peratus daripada Bakul Barangan CPI.

Tambahnya, banyak lagi barangan dan perkhidmatan lain yang dikenakan GST namun tidak akan dikenakan SST.

“Contohnya (tidak akan dikenakan SST), susu formula bayi, caj doktor di hospital, motosikal bawah 250 cc, caj transaksi perbankan serta tiket wayang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here