Gangguan bekalan air sempena Aidilfitri di Terengganu

0
142

KUALA TERENGGANU ― Hampir 22,300 penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dijangka mengalami masalah gangguan bekalan air pada Aidilfitri nanti ekoran masalah penggunaan air yang melebihi kapasiti pengeluaran ketika musim perayaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ir Atemin Sulong berkata kapasiti pengeluaran air di kedua-dua daerah itu ialah 180 juta padu sehari sedangkan ketika musim perayaaan itu nanti pengunaan dijangka meningkat kepada 240 juta padu sehari.

“Ini menyebabkan ada kawasan yang mengalami tekanan air yang rendah dan ada pula kawasan yang terputus bekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 17,500 penduduk terjejas ialah di sekitar daerah Kuala Terengganu manakala 4,800 penduduk lagi ialah mereka yang berada di sekitar daerah Kuala Nerus.

Antara kawasan yang terlibat ialah di Kampung Bukit, Kampung Surau Haji Daud, Kampung Surau Panjang , Kampung Tok Dir, Kampung Tok Pong, Kampung Tok Peh, Kampung Surau Haji Yaakob, Kampung Chendering, Kuala Ibai, Tok Adis, Padang Negara, Kampung Mengabang Tengah, Kampung Gong Tok Nasek, Kampung Pak Maseh, Kampung Nibong dan Perumahan Permint Jaya.

“Selain itu, turut terjejas ialah di Kampung Kedai Buluh, Kampung Titian Baru, Atas Tol, Kampung Pengkalan Setar, Kampung Gong Pipit, Kampung Gelugur, Pengadang Baru, Kampung Laut, Kampung Belukar Jambu, Kampung Tok Molor, Kampung Sungai Derhaka, Kampung Bukit Bayas dan sekitarnya.

“Di Kuala Nerus pula, antara kawasan terlibat ialah sekitar Perindustrian Gong Badak, RAKR Gong Badak, Alur Jambu, kawasan perumahan sekitar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak, Padang Nenas, Bukit Chempaka, Bukit Wan, Kampung Lingai, Bukit Nenas, Pagar Ubi, Padang Hangus, Perumahan RAKR Banggol Peradong, Bukit Petiti, Kampung Telari, Kubang Lembek serta sebahagian Kampung Kesom dan Pulau Bahagia,” katanya lagi.

Ir Atemin berkata penghantaran air melalui lori tangki akan dilakukan ke kawasan kritikal dan beliau juga menasihatkan orang ramai agar lebih berjimat cermat di dalam penggunaan air.

“Selain itu, orang ramai juga perlu membuat laporan segera kepada SATU sekiranya menjumpai sebarang kebocoran air di mana-mana tempat dan membuat simpanan air yang secukupnya bagi menampung kegunaan harian.

“Untuk keterangan lanjut, pengguna boleh menghubungi petugas SATU di Careline SATU 1-300-882-111,” katanya. ― Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here