Portal berita terbaik anda

Utama

Gaji permulaan siswazah makin kurang

KUALA LUMPUR: Gaji permulaan bulanan benar bagi kebanyakan siswazah baharu di negara ini menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi, demikian menurut Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia (BNM).

Siswazah baharu berkelulusan diploma mendapat gaji benar sebanyak RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010. Pemegang ijazah Sarjana pula memperoleh gaji benar RM2,707, iaitu penurunan gaji benar yang ketara daripada gaji sebanyak RM2,923 pada 2010.

BNM berkata, bukti yang ada menunjukkan kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan mungkin adalah faktor penting dalam isu berkenaan.

Katanya, antara 2010 hingga 2017 bilangan pemegang diploma dan ijazah dalam tenaga kerja secara purata meningkat sebanyak 173,457 orang setahun.

“Jumlah itu, jauh lebih tinggi daripada pertambahan guna tenaga bersih dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi, iaitu 98,514 orang setahun.

“Keadaan itu menunjukkan ekonomi negara tidak mewujudkan jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk menyerap bilangan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan,” katanya.

Bahagian siswazah dalam jumlah tenaga kerja negara meningkat daripada 23.5 peratus pada tahun 2010 kepada 28.3 peratus pada tahun 2017 dan ia setara dengan tahap di beberapa negara maju. Bagaimanapun, kaji selidik gaji yang diterbitkan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan bahawa gaji permulaan nominal siswazah di Malaysia masih lagi pada tahap sederhana.

Di samping itu, kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah juga mendapati 95 peratus pekerja muda berada dalam kategori pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran manakala 50 peratus pekerja yang membuat pekerjaan berkemahiran rendah secara manual mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh jenis pekerjaan sedemikian.

Oleh itu, katanya, walaupun berpendidikan tinggi, pekerja terpaksa menerima atau membuat pekerjaan yang lazimnya tidak memerlukan tahap pendidikan tinggi sedemikian.

“Akibatnya, dengan bekalan siswazah yang lebih daripada mencukupi dan permintaan syarikat untuk siswazah yang tidak banyak berubah, gaji siswazah terus menghadapi tekanan menurun.

“Menariknya, keadaan berkenaan jelas berlawanan dengan keadaan yang dihadapi oleh rakan setara mereka yang tidak mempunyai pendidikan tinggi,” katanya.

Selain itu, katanya, pelaksanaan upah minimum menyokong peningkatan gaji pekerja berkemahiran lebih rendah dalam tahun kebelakangan ini lantas membolehkan gaji permulaan pekerja berpendidikan rendah yang lebih setara berbanding pekerja berpendidikan tinggi.

Loading...

Leave a Reply