Gaji pemain, jurulatih TCFC sudah 6 bulan tidak dibayar

0
274

KUALA TERENGGANU: Selepas hilang sabar dengan karenah pengurusan Terengganu City FC (TCFC) yang gagal membayar gaji sejak enam bulan lalu, jurulatih dan pemain skuad The Sharks itu membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang tadi.

Seorang daripada jurulatih skuad itu yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka sudah tidak tahan dengan janji manis pengurusan TCFC berhubung isu tunggakan gaji.

“Sampai bila kami boleh bertahan dan menanti janji kosong. Gaji kami sudah tertunggak antara empat hingga enam bulan sehingga ke hari ini, lebih menyedihkan, cek yang kami terima tidak boleh ditunaikan.

“Bayangkan hampir setengah tahun tidak dibayar gaji, bagaimana kami mahu hidup. Ada antara kami kereta mereka sudah ditarik oleh bank kerana tidak mampu bayar.

“Lebih teruk lagi ada jurulatih dan pemain dihalau keluar dari rumah sewa kerana gagal menjelaskan bayaran bulanan. Ada yang menagih simpati rakan dan keluarga untuk hidup.

“Bagi kami, tindakan itu bukan hanya tidak bertanggungjawab dan tidak profesional, malah begitu kejam kerana tidak memikirkan periuk nasi dan keperluan asas kami sekeluarga.

“Kami fikir kejayaan menjulang trofi Liga FAM musim ini dan layak ke Liga Perdana musim depan adalah bonus kepada kami, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya hingga kami dilayan bagaikan ‘kain buruk’,” katanya.

Beliau yang ‘naik angin’ diperlakukan sebegitu mengharapkan aduan kepada FAM itu akan dapat membuka mata pengurusan TCFC supaya membayar tunggakan gaji berkenaan dengan segera.

Jumlah tuntutan itu dikatakan melebihi RM200,000, membabitkan enam staf kejurulatihan, manakala tunggakan gaji pemain dianggarkan melebihi RM300,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here