Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

Gagal larikan motosikal, sakit pula yang dapat…

SUDAHLAH motosikal gagal dilarikan, kepala pula sakit terlanggar pintu cermin dan paling malang, diberkas polis selepas tiga jam bersembunyi.

Itu nasib menimpa seorang lelaki apabila cubaannya melarikan sebuah motosikal di parkir pelawat di Hospital Putrajaya (HPJ) tidak berjaya sebelum dia diberkas polis, 3.30 petang hari ini.

Pengadu mendakwa melihat suspek cuba melarikan motosikal Yamaha 125Z yang diletakkan di parkir pelawat hospital sebelum mengejar suspek.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi berkata, pengadu cuba menghalang suspek selepas melihat motosikal dihidupkan tanpa kunci sebelum suspek melarikan diri ke arah lobi utama hospital.

Beliau berkata, suspek kemudian terlanggar pintu cermin di lobi utama hospital sehingga pecah sebelum lari bersembunyi ke dalam hospital.

“Pengadu bersama beberapa orang awam gagal mengesan suspek sebelum satu laporan polis dibuat.

“Kami menghantar satu pasukan ke hospital untuk mengesan suspek sebelum berjaya memberkasnya tiga jam kemudian.

“Suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Rosly berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 28 tahun berasal dari Machang, Kelantan itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes curi kenderaan, menipu dan merompak.

Beliau berkata, pemilik motosikal sudah membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7 selepas kejadian itu.

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 11 saat dikongsi pihak hospital menunjukkan suspek dilihat berlari ke arah lobi utama hospital sebelum melanggar pintu cermin sehingga pecah dan melarikan diri.

Turut kelihatan dua orang awam sedang mengejar suspek.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén