Football Republic kini di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU – Kedai konsep bola sepak premium pertama di Malaysia, Football Republic hari ini telah melancarkan cawangan kelimanya di Kuala Terengganu hanya selepas lebih setahun pembukaan cawangan pertama di Suria KLCC.

Acara pembukaan yang diadakan di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim selain turut dimeriahkan  dengan kehadiran pemain Terengganu FC.

Football Republic merupakan kedai konsep bola sepak premium pertama seumpamanya di Malaysia.

Selepas mendapat sambutan hebat oleh peminat bola sepak di Suria KLCC, Sunway Pyramid, Alor Setar dan Kuantan, Football Republic kini melihat potensi yang positif dalam perkembangan sukan bola sepak di negeri Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Vach Pillutla berkata, syarikat milik penuh Al-Ikhsan Sports itu menyasarkan supaya para pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan barangan bola sepak berkualiti di samping lebih mudah untuk pelanggan, berbanding sebelum ini mereka terpaksa ke kedai Al-Ikhsan yang berbeza-beza untuk mencari produk idaman.

“Selepas melihat perkembangan dan peluang dalam industri runcit barangan bola sepak di negeri Terengganu, kami yakin Football Republic akan diterima baik oleh warga Terengganu, terutamanya dari kalangan peminat tegar bola sepak.

“Al-Ikhsan Sports yang sentiasa menyokong inisiatif kerajaan dan persekutuan bola sepak seperti yang dapat dilihat menerusi pelaburan kami sejak tiga tahun lalu.

“Ini adalah sesuatu yang kami ingin teruskan di masa hadapan untuk perkembangan bola sepak di negeri Terengganu,” katanya.

Football Republic menyediakan pelbagai variasi barangan bola sepak yang berkualiti premium, seperti kasut bola, jersi, aksesori bola sepak dan lain-lain.

Peminat bola sepak juga boleh mendapatkan barangan bola sepak dengan kualiti yang sama seperti yang digunakan oleh pemain profesional bertaraf dunia.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Mizal Ghazali berkata melalui penajaan dengan pasukan TFC, mereka sangat teruja untuk menjalin hubungan dengan komuniti bola sepak di Terengganu serta kawasan-kawasan lain di sekitarnya yang sentiasa memerlukan produk bola sepak berkualiti.

“Kami berharap, Football Republic dapat menjadi destinasi barangan bola sepak terbaik untuk semua. Semestinya barangan pasukan kesayangan peminat bolasepak Terengganu FC menerusi jenama AL Sports akan menjadi tarikan utama di kedai ini,” katanya.

Para peminat bola sepak di Terengganu kini boleh mengunjungi Football Republic Kuala Terengganu di alamat NO.77-B, JALAN SULTAN SULAIMAN, 20100 KUALA TERENGGANU, TERENGGANU DARUL IMAN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here