Fahmi Reza lepas, bebas tuduhan muat naik gambar hina Najib

0
202

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, melepas dan membebaskan pereka grafik, Fahmi Reza daripada tuduhan memuat naik imej badut menyerupai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Instagram miliknya, dua tahun lalu.

Hakim Zamri Bakar membuat keputusan itu terhadap Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan menerusi Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd Yushaa untuk menarik balik pertuduhan itu mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada prosiding itu, Noor Jazilah turut memberitahu mahkamah, peguam Syahredzan Johan sudah menghantar dua surat representasi untuk menarik balik pertuduhan terhadap Fahmi Reza pada 12 Jun dan 17 Julai lalu dan Pejabat Peguam Negara menerima represetasi untuk menggugurkan pertuduhan itu.

Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan Fahmi Reza daripada pertuduhan itu.

Pada 6 Jun 2016, Fahmi Reza mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi instagram ‘Kuasasiswa’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 31 Januari lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di alamat 35, Jalan BP 10/10, Bandar Bukit Puchong 2, Puchong di sini, jam 6 petang, pada 1 Februari 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Sepanjang perbicaraan yang bermula Jun lalu, pihak pendakwaan mengemukakan tiga saksi bagi memberi keterangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here