Portal berita terbaik anda

Utama

Ekonomi Terengganu berkembang lebih pesat dari Pulau Pinang – Exco

KUALA TERENGGANU – Ekonomi Terengganu berkembang pesat di dalam suasana kelembapan ekonomi negara dan dunia dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.9 peratus pada 2017 berbanding 3.1 peratus pada 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kadar itu lebih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain di Pantai Barat.

“Kadar ini dilihat lebih tinggi berbanding negeri Pantai Barat seperti Negeri Sembilan 4.9 peratus, Perak (5.5), Kedah (5.0) dan Pulau Pinang (5.3).

“Peningkatan pendapatan purata isi rumah rakyat Terengganu pula menunjukkan peratusan peningkatan yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh 2014 hingga 2016 iaitu RM4,816 kepada RM5,776.

“Ia berlaku peningkatan sebanyak 9.5 peratus berbanding paras nasional sebanyak 6.4 peratus,” katanya ketika ditemu bual menerusi Sinar Live, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa kekangan terhadap pembangunan ekonomi yang lebih pesat antaranya kebergantungan struktur ekonomi Terengganu kepada perbelanjaan awam dan keupayaan menggerakkan ekonomi terkesan apabila kemampuan berbelanja kerajaan negeri dikurangkan.

“Kita juga masih ketinggalan dari segi ekosistem pelaburan termasuk isu pengangkutan, gaya hidup, pendidikan antarabangsa dan sebagainya.

“Faktor ini mendorong kepada cost doing business dan keselesaan pelabur. Ia juga menyukarkan kerajaan negeri membawa pelaburan swasta bagi menggerakkan pembangunan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sektor pertanian dan pelancongan berpotensi besar menjana pembangunan ekonomi dan peningkatan pendapatan rakyat.

“Bagi sektor perkilangan pula, sub sektor mineral, bioteknologi, minyak dan gas boleh menjana masa depan yang gemilang untuk Terengganu.

“Kita kaya dengan bahan mineral bukan hanya silika, kita mempunyai bijih besi, emas, bauksit dan mineral-mineral lain. Apa yang diperlukan ialah kerajaan meletakkan polisi dan strategi yang betul bagi membangunkan industri ini,” katanya.

Loading...

Leave a Reply