Portal berita terbaik anda

Utama

Dulu terima bantuan JKM, kuih bulan ubah hidup Azimah

DUNGUN – Sebagai seorang yang mahir membuat pelbagai jenis kuih muih dan masakan Melayu, Rahimah Ahmad tidak sekali-kali menjangka menghasilkan kuih bulan dan kuih bakul menjadikan beliau usahawan kecil-kecilan yang amat berjaya.

Beliau meraih pendapatan bulanan yang cukup lumayan hasil dari membuat kuih tradisonal masyarakat Cina itu, hingga akhirnya mampu keluar dari senarai penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Barangkali kejayaan Rahimah sebagai seorang pembuat makanan adalah kerana semangat kerjanya yang tidak pernah janggal mencuba puluhan resepi kuih bulan yang ditemuinya di mana sahaja termasuk di Internet.

Ini berikutan permintaan masyarakat Melayu sekitar Dungun yang mahu menikmati kuih tradisional masyarakat Cina itu yang diyakini halal.

Permintaan untuk kuih itu di sini meningkat ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Berbelas resepi dicuba namun Rahimah, 54, masih belum menemui resepi yang benar-benar lazat, sama seperti kuih bulan yang pernah dinikmatinya sebelum ini sehinggalah beliau menyertai kelas masakan yang mengajar resepi pembuatan kuih bulan oleh seorang chef terkenal pada awal 2017.

Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Kak Long berkata banyak tips dan rahsia untuk menghasilkan kuih bulan yang lazat tanpa mengubah keasliannya diperoleh dalam kelas itu.

“Alhamdulillah, selepas tamat kelas, Kak Long terus membeli bahan yang diperlukan dan membuat kuih bulan mengikut teknik yang diajar chef berkenaan. Kebetulan, Kak Long memang ramai pelanggan kuih sedia ada dan mereka pula sudah lama mengidamkan kuih bulan hasil ‘air tangan’ Kak Long.

“Percubaan pertama itu mendapat sambutan sangat memberangsangkan dan keuntungannya melebihi yuran kelas RM300 yang Kak Long sertai.

“Sejak itu, Kak Long terus dapat tempahan kuih bulan tanpa henti dan menjadikannya sebagai jualan utama selain kuih muih dan lauk tradisional Melayu,” katanya kepada Bernama di rumahnya dekat Kampung Sura Tengah di sini.

Beroperasi hanya di rumah, Kak Long yang menghidap penyakit diabetes dan saraf sebenarnya pernah menerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk membeli ubat-ubatan.

“Melihat usaha Kak Long yang menjual kuih bulan, JKM mencadangkan Kak Long menyertai program khas mereka iaitu ‘2 Years Exit Programme (2YEP)’ yang bertujuan membantu golongan miskin berdikari untuk meningkatkan taraf ekonomi dan keluar daripada senarai penerima bantuan.

“Melalui program itu, Kak Long diberi bantuan kewangan sebanyak RM2,700 untuk membeli ketuhar dan peti sejuk pada April 2017 bagi mempercepatkan lagi proses penghasilan kuih bulan.

“Malah, pegawai JKM turut memberi bimbingan keusahawanan dan pemantauan dari semasa ke semasa. Kak Long sangat berterima kasih dengan JKM atas jasa mereka itu,” katanya yang turut menjual kuih bakul selepas mendapat permintaan daripada penggemar kuih tradisional masyarakat Cina itu.

Berkat menjual kuih bulan dan kuih bakul sepanjang tempoh menyertai program 2YEP itu, Kak Long kini mampu memperoleh pendapatan yang lebih baik dan tidak lagi menjadi penerima Bantuan Am daripada JKM.

Ditanya jualan tertinggi kuih bulan yang pernah direkodkan selama ini, Kak Long berkata jumlahnya ialah RM15,000 iaitu pada pertengahan 2017 dan secara purata, jualan bulanannya sepanjang tahun lalu ialah antara RM3,000 dan RM3,500.

“Mungkin nilai itu agak kecil bagi usahawan lain, namun jumlah itu sangat besar ertinya bagi peniaga kecil-kecilan seperti Kak Long tambahan pula keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan Kak Long terlalu aktif di dapur (akibat diabetes dan sakit saraf),” katanya yang masih dalam proses menambah jumlah pengedar di seluruh negara.

Harga jualan kuih bulan Kak Long ialah RM38 untuk enam perisa manakala kuih bakul dijual RM13 untuk setiap bekas.

Beliau turut dibantu seorang pekerja. Kuih tradisional itu kebanyakannya ditempah oleh syarikat korporat minyak dan gas berhampiran Paka dan orang Melayu yang menggemarinya selain dijadikan hadiah untuk hantaran perkahwinan, jamuan perpisahan serta majlis keraian yang lain.

“Kak Long rasa bertuah kerana dapat menyediakan kuih bulan yang halal kepada orang Islam. Harapan Kak Long agar kejayaan kecil Kak Long yang dapat mengubah kehidupan ke arah lebih baik ini mampu memberi inspirasi kepada mereka di luar sana.

“Agar mereka tidak berputus asa dan sentiasa mencari ilmu perniagaan kerana ia adalah jihad ekonomi yang sangat dituntut dalam Islam,” katanya.

Sumber: Bernama

Loading...

1 Comment

  1. zara

    macamana nk hubungi puan Azimah

Leave a Reply