Dua tahun tak pijak tanah selepas ‘disembunyikan’ selama 13 hari

“SEJAK ditemui selepas hilang 13 hari, dia tidak pernah memijak tanah dan cuma duduk (berada) atas rumah saja,” kata Asiah Noh, 55, ibu kepada Muhamad Anuar Elias, 36, yang pernah menggemparkan masyarakat tempatan apabila dilaporkan hilang 13 hari pada 27 November 2016.

Muhamad Anuar kemudian ditemui dalam keadaan merangkak dalam semak di tebing Sungai Terengganu di Kampung Losong Atap Amar, Kuala Terengganu, 8 Disember 2016.

Asiah berkata, anak sulungnya itu tidak memberitahu secara jelas mengapa dia enggan turun dari rumah tidak lama selepas ditemui sehingga kini.

“Dia masih sihat dan berkelakuan seperti orang normal, cuma tak mahu pijak tanah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya Kampung Losong Lebai Salleh, hari ini.

Misteri kehilangan Muhamad Anuar terungkai apabila dia ditemui dalam keadaan merangkak dalam semak berhampiran pokok rengas di tebing Sungai Terengganu di Kampung Losong Atap Amar, hampir dua minggu selepas dilaporkan hilang ketika menjala udang di sungai berkenaan.

Lelaki itu ditemui rakan baiknya Hamdan Mat Daud, 38, selepas dia terdengar suara mangsa meminta tolong jam 7.40 malam pada 8 Disember 2016.

Muhamad Anuar berkata, sejak kejadian itu, dia mempunyai perasaan ingin bersendirian dan tidak mahu memijak tanah.

“Sukar nak terangkan, tapi saya berasa ingin berada dalam rumah saja, tak ingin berjumpa orang lain. Paling jauh pun saya duduk di tangga rumah untuk gunting rambut,” katanya.

Ditanya mengenai kejadian misteri itu, Muhamad Anuar berkata, mulanya dia terdengar suara memanggil namanya dan sebaik sampai di pokok cengal itu, dia nampak cahaya seperti kunang-kunang.

“Ketika hilang dulu, saya macam tak ingat apa-apa, cuma bila terdengar suara rakan memanggil nama barulah saya seperti tersedar.

“Terkejut bila diberitahu saya hilang 13 hari sebab saya cuma rasa seperti sehari saja,” katanya.

Sementara itu, Hamdan berkata, kejadian yang menimpa Muhamad Anuar ada persamaan dengan kehilangan Mohamad Ashraf Hasan, 29, ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di kawasan Gua Tempurung, Gopeng, Perak, sejak lebih dua minggu lalu.

“Cuma saya harap, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak berputus asa. Ketika mencari (Muhamad) Anuar dulu, ramai juga yang seperti putus asa, tapi saya tetap bersemangat dan yakin dia ditemui.

“Mungkin berkat amalan membaca surah Al-Fatihah dan tiga ‘Qul’ yang diajarkan seorang tua di kampung ini, membawa kepada penemuan itu,” katanya.

You might like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *