Portal berita terbaik anda

Utama

Dua sepupu mati lemas di Lata Sri Pulai

PONTIAN – Dua kanak-kanak perempuan lemas ketika berkelah bersama keluarga di Lata Sri Pulai, Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, Nur Arissa Safiyah Abdullah, 4, dan sepupunya, Nur Syafirah Ummyrah Zamri, 5, ditemui lemas pada jam 1.15 tengahari.

Katanya, kedua-dua kanak perempuan itu yang mengikuti perkelahan bersama keluarga ditemui orang ramai di lokasi kejadian.

“Kedua-dua kanak-kanak itu kemudian di bawa ke Klinik Kesihatan Pekan Nanas sebelum dirujuk ke Hospital Pontian dan disahkan sudah meninggal dunia.

“Punca kejadian dipercayai akibat cuai kerana tiada pemantauan oleh keluarga ketika berkelah,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu hari ini.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu kejadian lemas membabitkan dua kanak-kanak itu tular menerusi laman sosial Facebook (FB) hari ini menerusi tiga keping gambar termasuk satu daripada keadaan mangsa yang terapung.

Kandungan FB itu antara lain memaklumkan kegembiraan bertukar sedih kepada pengunjung pusat rekreasi itu apabila dua kanak-kanak ditemui lemas.

“Kegembiraan bertukar sedih kepada semua pengunjung di Lata Sri Pulai hari ini (semalam).

“Allah menjemput dua anak syurga dalam lingkungan umur empat tahun. Sekarang kami masih dekat sini lagi,” kata pengunjung yang berkongsi status di lokasi kejadian.

Pengunjung terbabit turut meminta semua pengunjung lebih berwaspada ketika di lokasi itu.

Katanya, ketiadaan petugas khas juga menyukarkan usaha mengawasi lokasi itu terutama jika kejadian lemas berlaku.

“Saya sedih sangat tak dapat nak membantu,” kata pengunjung pusat itu berkongsi status.

Loading...

Leave a Reply