Dua sahabat maut rempuh kereta keluar simpang

0
149

KUALA TERENGGANU – Dua sahabat maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Sungai Rengas, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.20 petang itu, penunggang motosikal Yamaha Y125ZR, Mohd Jailani Yusuf, 40, dan pemboncengnya, Nik Fairoz Nik Soh, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal dinaiki dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Pulau Musang menghala ke Kepong.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian di simpang tiga Lorong Kubang Macang, Jalan Sungai Rengas, motosikal dinaiki dua lelaki itu melanggar Perodua Kelisa yang membelok ke kanan dari arah simpang berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.

“Lelaki berusia 24 tahun yang memandu Perodua Kelisa tidak mengalami sebarang kecederaan, ” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here