Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes pergaduhan di Bazar Aidilfitri

0
1481

KLANG – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan antara peniaga dan penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang tular di laman sosial sejak semalam.

Kejadian pergaduhan itu berlaku kira-kira pukul 9.40 malam semalam di Bazar Aidilfitri Jalan Taiping, Bandar Baru Klang di sini.

Baca: (Video) ‘Netizen tak tahu cerita, dosa je korang maki MPK’ – Peniaga tampil jelaskan cerita sebenar

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, kedua-dua lelaki berusia 18 dan 41 tahun itu ditahan di sekitar perkarangan Balai Polis Sungai Kapar Indah kira-kira pukul 5 pagi semalam ketika diminta hadir memberi keterangan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan pengadu yang juga seorang pegawai penguat kuasa MPK, kejadian pergaduhan itu berlaku ketika dia bersama pasukannya menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bazar tersebut.

“Ketika pengadu memperkenalkan diri kepada pemilik gerai minuman dan meminta dia menunjukkan lesen perniagaan, suspek gagal mengemukakan lesen seperti yang diminta pengadu.

“Semasa pengadu bersama pasukannnya ingin menyita balang minuman, suspek cuba menghalang. Berlaku pertengkaran mulut antara kedua pihak sebelum berlaku pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mazelan berkata, akibat pergaduhan itu, seorang anggota penguat kuasa MPK mengalami kecederaan di muka.

“Siasatan awal pihak kita mendapati gerai suspek pernah diambil tindakan sitaan pada Ahad lalu.

“Pihak MPK juga pernah memberi amaran sebelum ini, namun suspek masih menjalankan perniagaan tanpa lesen,” ujarnya.

Jelas Mazelan, kedua-dua lelaki tersebut direman sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam. – K! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here