Dua beranak terbakar tubuh badan mesin dobi meletup

0
2115

KLANG – Sepasang suami isteri tidak menyangka hasrat mereka untuk mengeringkan pakaian di sebuah kedai dobi layan diri bertukar menjadi insiden apabila mesin pengering tiba-tiba meletup dalam satu kejadian di Johan Setia, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu berlaku apabila pengadu bersama suaminya serta dua anaknya pergi ke sebuah kedai dobi layan diri untuk mengeringkan pakaian.

Katanya, setibanya di kedai dobi itu, pengadu bersama anak kecilnya berada di dalam kereta sementara menunggu suami dan anak perempuannya. Namun secara tiba-tiba berlaku letupan kecil pada mesin pengering tersebut.

“Kejadian mengakibatkan suaminya yang berusia 43 tahun bersama anak perempuannya yang berusia 14 tahun mengalami kebakaran pada tubuh badan mereka. Wanita berkenaan telah meminta orang ramai memasukkan suaminya ke dalam kereta sebelum memandu sendiri ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Siasatan awal mendapati letupan berlaku setelah suami pengadu menekan butang ‘Start’ pada mesin pengering dan menyebabkan suami dan anaknya mengalami kebakaran. Mereka kini dirawat di Jabatan Kecemasan Zon Merah dan dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan Bomba Balai Andalas mendapati punca kejadian adalah akibat masalah teknikal mesin pengering.

“Masalah itu menyebabkan api tersambar dibahagian belakang yang menempatkan tong gas dan tiada unsur khianat dalam kes ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here