Dua beranak antara tiga maut elak haiwan melintas

PADANG TERAP – Kemalangan yang menyebabkan tiga individu maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki, petang semalam, di Kampung Padang Lanjut, di sini, dipercayai akibat mengelak haiwan melintas.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, kemalangan dipercayai berlaku 4.15 petang semalam apabila kereta dari arah Semeliang menuju ke Kuala Nerang itu cuba mengelak haiwan yang melintas secara tiba-tiba di hadapan kenderaan itu.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai terlanggar pada bahagian tepi pintu hadapan sebelah kiri kereta berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta berusia 37 tahun dan anaknya berusia enam tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal yang berusia 20 tahun juga meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng motosikal berusia 11 tahun itu parah dan sedang di rawat di Hospital Kuala Nerang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Mulkiaman berkata, saksi kejadian tidak pasti spesies haiwan yang melintas kerana tidak nampak dengan jelas.

“Berikutan itu, kereta terbabit rosak teruk pada bahagian bumbung dan keempat-empat pintu, manakala motosikal pula rosak teruk pada bahagian depan kenderaan dan patah kedua-dua belah cermin pandang belakang.

“Ketiga-tiga mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat dan siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...

Leave a Reply