Dua batang gigi disahkan milik Nur Aisyah Aleya

ALOR SETAR – Laporan awal asid deoksiribonukleik (DNA) Jabatan Kimia Petaling Jaya mengesahkan dua batang gigi yang ditemukan dalam kes kematian kanak-kanak perempuan, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, di Langkawi, awal bulan ini, berpadanan dengan sampel darah ibu kanak-kanak malang itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penemuan itu membuktikan bahawa kanak-kanak berkenaan mempunyai hubungan sebagai anak kandung dengan wanita tersebut.

Kata beliau, laporan yang diterima pihaknya semalam itu, turut mengesahkan bahawa analisis darah terhadap bantal dan toto yang dirampas di rumah suspek kes tersebut sebelum ini, adalah berpadanan dengan profail DNA si mati.

“Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani telah bersetuju untuk menuduh suspek lelaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Majistret Langkawi, esok, manakala suspek kedua (isterinya) dibebaskan dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah 1976,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes kematian Nur Aisyah Aleya direman untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Pasangan berusia 37 dan 40 tahun itu direman sejak 7 Mac lalu sebelum disambung lagi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kejadian menimpa kanak-kanak malang yang sebelum itu dilaporkan hilang oleh ibunya terbongkar apabila kedua-dua suspek berjaya ditahan polis di sebuah inap desa di Ampang, Selangor.

Kanak-kanak yang dipercayai meninggal dunia sejak pertengahan Februari itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati apabila hanya tengkorak kepala disyaki miliknya djumpai bersama-sama dua batang gigi dan gumpalan rambut di Gunung Raya, Langkawi.

Terdahulu, Nur Aisyah Aleya tinggal bersama-sama ibunya, Rosmaliah Samo, 32, di kediaman pasangan itu di Kuarters Hospital Langkawi sebelum wanita itu dihalau ekoran hubungan sulitnya dengan suspek lelaki diketahui isteri lelaki itu. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *