Portal berita terbaik anda

Utama

Dr Noor Hisham dianugerah doktor falsafah UKM

BANGI – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48 pada Sabtu.

Beliau yang merupakan alumni Fakulti Perubatan UKM 1988 mengetuai penganugerahan berkenaan yang dianugerahkan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Selain Dr Noor Hisham, turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Kelestarian), Profesor Emeritus Dr Soontak Lee.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) UKM itu juga, seramai sembilan orang dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus.

Antara yang menerima gelaran berkenaan adalah Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Datuk Dr Teo Kok Seong.

Tuanku Muhriz dalam ucapan perasmian bertitah, seluruh warga UKM seharusnya berbangga dengan dua tokoh alumni universiti berkenaan iaitu Dr Noor Hisham dan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Baginda bertitah, ini kerana kedua-dua tokoh berkenaan adalah individu penting dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Titah Tuanku Muhriz, UKM juga memberi penghargaan kepada Dr Soontak.

“Profesor Dr Soontak Lee merupakan seorang saintis yang diiktiraf di peringkat global dan kini merupakan Profesor Emeritus di Yeungnam University, Korea Selatan melalui peranan sebagai pakar dalam pembangunan serta pemuliharaan sumber air dan kelestarian,” titah baginda.

Seramai 6,166 graduan UKM akan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen yang akan diadakan secara fizikal bermula 3 hingga 12 April ini.

Loading...

Leave a Reply