Portal berita terbaik anda

Utama

‘Doakan Nur Aisyah cepat sembuh’

BAYI perempuan Nur Aisyah Hasmizan yang dilarikan lelaki warga Nepal yang memecah masuk ke rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, Muar semalam berada dalam keadaan stabil.

Ibu kepada Nur Aisyah, 17 bulan iaitu Siti Noorfadilah Yusofe, 30, menerusi perkongsian di laman Facebook menggunakan nama Diela Yusofe memuat naik status bagi menjawab persoalan orang ramai berkaitan keadaan semasa anak bongsunya itu.

“Assalamualaikum. Ramai bertanya mengenai Aisya (Nur Aisyah), saya menjawab persoalan anda di sini serta sekejap lagi sembahyang Jumaat dan saya mohon doakan anak saya kembali sihat, hilang trauma yang dia hadapi kini dan hilangkan kesakitan yang dialaminya.

“Alhamdulillah, pelaku (suspek) tak pukul Aisya dari x-ray yang dibuat (di hospital), tapi Aisya jadi seperti ini kesan daripada gigitan semut, nyamuk dan binatang kecil (ketika ditinggalkan dalam semak),” katanya dalam entri yang dimuatnaik dalam laman sosial Facebook, tengah hari hari ini.

Siti Noorfadilah berkata, gambar pertama yang dimuat naik dalam laman sosial peribadinya memperlihatkan keadaan Nur Aisyah yang bernanah pada bahagian bibir dan sekitar mulut.

Katanya, selain itu bahagian mata dan leher juga bernanah, bagaimanapun beliau bersyukur kerana anaknya dapat diselamatkan dalam keadaan masih bernyawa.

“Alhamdulillah dia (Nur Aisyah) kembali kepada saya dalam keadaan bernyawa walaupun begini rupa (kecederaan dialaminya), saya sangat bersyukur.

“Doa anda semua semoga Allah membalas segalanya. Terima kasih kerana prihatin kepada kami,” katanya.

Difahamkan, Nur Aisyah masih ditempatkan di wad Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Dalam kejadian pada 5 pagi itu, bayi terbabit dilarikan individu tidak dikenali yang juga bertindak memecah masuk rumah keluarganya.

Nur Aisyah berjaya ditemui dan diselamatkan polis pada 3.45 petang di kawasan belukar, kira-kira satu kilometer dari rumah keluarganya.

Loading...

Leave a Reply