Portal berita terbaik anda

Utama

Ditinggal isteri selepas kaki dipotong

MARANG – Kerana diabetis, seorang bapa disisihkan ahli keluarganya sendiri.

Gunasekar Marimuthu, 46, berkata, kaki kirinya terpaksa dipotong pada 2013 dan dibiar sendirian oleh isterinya yang nekad menghilangkan diri dengan membawa bersama dua anak mereka.

Menurutnya, dia kemudiannya ditempatkan di sebuah pusat jagaan orang-orang tua di Rawang, Selangor pada 2015 kerana tiada siapa lagi yang ada untuk menjaga keperluan hariannya.

“Saya berasal dari Pulau Kambing, Kuala Terengganu. Selepas setahun saya ditempatkan di pusat jagaan orang tua itu saya berusaha dan meminta bantuan adik beradik untuk pulang.

“Saya kemudiannya dengan rela hati tinggal di Pusat Kanak Kanak Terencat Akal di Padang Midin dua tahun lalu kerana tidak mahu menyusahkan adik beradik saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Gunasekar ditemui di Pusat Kanak Kanak Terencat Akal di Padang Midin itu berkata, sangat memeritkan apabila terpaksa berpisah dengan anak-anak terutama anak bongsunya berusia 7 tahun.

“Sejak masuk ke sini saya tidak pernah bertemu anak-anak, bagaimana keadaan mereka saya tidak tahu. Bapa mana tidak rindukan anak tetapi saya terpaksa berpura-pura melupakan mereka.

“Kali terakhir saya melihat anak bongsu saya itu ketika dia berusia 2 tahun. Walaupun rindukan anak, saya tetap rasa bersalah dan celaru jika mereka datang untuk berjumpa saya,” katanya.

Kerinduan Gunasekar terhadap anaknya sedikit terubat apabila melihat telatah anak-anak istimewa ditempatkan di pusat terencat akal itu selain berkongsi pengalaman bersama rakan senasib.

Seramai 23 penghuni ditempatkan di Pusat Kanak Kanak Terencat Akal di Padang Midin termasuk golongan dewasa yang kurang upaya terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India.

Apabila ditanya mengapa keluarga sendiri sanggup mengabaikannya, dia menjelaskan mungkin kerana dia beristeri dua dan ada sikap negatif dilakukan pada masa dahulu terhadap keluarganya.

Loading...

Leave a Reply