Ditangkap curi telefon, pemuda ini gembira dapat masuk penjara

SEORANG remaja berusia 19 tahun dipenjarakan buat kali ketiga selepas didapati bersalah mencuri telefon bimbit.

Polis dilaporkan menjejaki Gede Kama, dari kampung Busungbiu, Buleleng, Indonesia selama enam hari sebelum dia akhirnya ditahan di rumahnya pada Ahad.

Bercakap kepada media tempatan di luar Ibu Pejabat Polis Buleleng pada Selasa, penganggur itu berasa lega dipenjarakan kerana dia tidak perlu bersusah-payah mencari wang untuk makan.

“Gembira pak, sering dapat nasi percuma,” kata Kama memetik JawaPos.

Kama mengaku mencuri telefon bimbit di tiga kediaman berbeza dan terbaharu pada 14 Januari lalu.

Setiap kali melakukan kecurian, dia dilaporkan akan memecah masuk ke rumah kosong dan kemudian menjual barang yang dicuri di kaunter telefon bimbit di kampungnya.

Ketika ditanya tentang tujuannya mencuri, Kama berkata dia melakukannya kerana telefon pintar mempunyai kamera yang baik untuk selfie.

“Boleh selfie pak. Nanti kalau bosan ia dijual, boleh beli nasi,” katanya.

Walaupun kenyataan Kama agak pelik, polis menegaskan bahawa dia adalah seorang pencuri yang berkemahiran.

Ketua Polis Busungbiu AKP I Made Agus Dwi Wirawan berkata Kama tidak pernah mencuri barang lain, walaupun wang, laptop atau perhiasan.

Menurut Agus, sebelum ini dia sudah dua kali masuk penjara. Kali terakhir dia dibebaskan pada Januari 2018, setelah didapati bersalah mencuri telefon bimbit di Busungbiu.

Dia menjalani hukuman 10 bulan penjara.

“Dua kali ditahan. Kesnya sama, pecah rumah juga. Kalau dulu dia buat waktu siang, sekarang sudah mula berani buat waktu malam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here