Portal berita terbaik anda

Utama

Diberi penghormatan sebagai wira negara, ini yang berlaku kepada arwah Adib

SUBANG: Setelah bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN) selama tiga minggu, kini tiba masanya untuk wira kesayangan negara Muhammad Adib Mohd Kassim pulang ke kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Namun, kali ini kepulangannya berbeza daripada yang sebelumnya. Kerana, hanya jasadnya yang terletak di dalam keranda berbalutkan Jalur Gemilang, tanda tewasnya seorang perwira negara.

Perjalanan terakhir wira ini bukan biasa-biasa. Menerima penghormatan terakhir dari pegawai kanan serta rakan seperjuangan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Bahkan lebih luar biasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Sr Siti Hasmah Ali sendiri hadir ke Pangkalan Udara JBPM Subang untuk sama-sama menghantar Muhammad Adib menaiki Helikopter Mi17-IV.

Sedang di atas helikopter, cebisan ini ditulis, sambil mata ini menyaksikan sendiri ketenangan yang tertera di wajah ayahnya, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Mohd Kassim kelihatan tenang mengiringi keranda jenazah di dalam helikopter.

Biarpun jasad anak kesayangannya di depan mata, Mohd Kassim hanya termenung memerhati keranda berbalutkan bendera Malaysia.

Mata ini juga menyaksikan tunang Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi, memeluk erat beg sandangnya sambil turut merenung keranda di depan mata.

Nurul Najihah menahan airmata sambil mengiringi perjalanan arwah tunangnya pulang ke kampung halaman.

Kepedihan dan kesedihan mereka barang kali tiada siapa mampu menduga.

Perjalanan ini, menurut pegawai bomba yang mengiringi, akan memakan masa kira-kira 1 jam 45 minit sebelum mendarat di Sekolah Kebangsaan Tebengau, Kuala Kedah.

Difahamkan, Muhammad Adib akan dikebumikan di tanah perkuburan di Kampung Tebengau sebelum Zohor.

Loading...

Leave a Reply