‘Dia tumbuk, kencing atas muka saya’

Kecederaan yang dialami mangsa.

LEBIH tiga tahun bertahan demi rumah tangga, akhirnya seorang wanita berusia 40 tahun bertindak nekad melarikan diri dari cengkaman suaminya selepas tubuhnya sering dihadiahkan sepak dan penumbuk setiap hari.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Sarah berkata, dia reda perkahwinan yang dibina sejak 2015 itu runtuh oleh kerana sikap suaminya yang berusia 39 tahun yang disifatkan sebagai psiko sering memukul, memaki dan turut mengugut untuk membunuhnya.

Menurutnya, dia trauma untuk pulang kembali ke rumahnya kerana tidak sanggup untuk menghadapi penderaan fizikal dan emosi yang dilakukan oleh suaminya yang merupakan seorang penganggur.

“Seawal bulan pertama perkahwinan dia menunjukkan sisi lain dirinya dari zaman bercinta apabila mula naik tangan memukul dan menumbuk hingga menjejaskan prestasi kerja saya di pejabat.

“Saya bersabar dengan karenahnya kerana sayangkan perkahwinan kedua kami. Namun, ia bertambah buruk apabila dia dipecat kerja pada 2016 kerana dia ‘banyak masa’ untuk melepaskan geram kepada saya,” katanya.

Menurutnya, penderaan suaminya semakin keterlaluan sehingga sanggup kencing pada wajahnya dan menyebabkannya mula nekad untuk keluar dari rumahnya itu.

“Pada mulanya dia bawa saya pergi bermalam sebuah hotel untuk bercuti tetapi kegembiraan itu tidak lama apabila dia memukul dan kencing pada muka ketika saya dalam keadaan tidak berdaya.

“Dalam keadaan tidak bermaya itu, dia menggunakan pemetik api membakar lengan kiri. Kejadian itu meninggalkan pengalaman pahit dan saya tidak toleh ke belakang lagi apabila maruah saya sebagai isteri tercalar,” katanya.

Sarah berkata, berpuluh laporan polis dibuat sebelum ini tetapi ditarik semula kerana percaya suaminya itu akan berubah.

“Apa yang tidak dilakukan, memijak kepala, retak tulang hidung akibat ditumbuk serta mencurahkan air panas di celah kangkang kerana saya melawan. Dia pernah paksa saya ambil dadah bersamanya. Dia juga mengugut akan menyebar foto bogel saya sekiranya saya buat laporan polis.

“Kali ini saya betul-betul nekad, laporan polis dibuat semalam atas tindakannya yang bukan sahaja mengancam saya tetapi keluarga juga. Ugutan bunuh bukan setakat di mulut apabila dia pernah meletakkan pisau di leher,” katanya.

Katanya, dia mahu memulakan hidup baharu dengan keluarga dan empat anak perempuannya berusia 15 hingga tujuh tahun, hasil perkahwinan pertama yang kini dijaga oleh bekas suaminya itu selepas selesai semua urusan berkaitan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan menerima laporan itu.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *