Portal berita terbaik anda

Utama

‘Detektif Lim’ selamat mendirikan rumah tangga, menteri ucap tahniah

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Pelakon drama bersiri Gerak Khas Farid Amirul Hisham Abdullah selamat mendirikan rumah tangga selepas diijabkabulkan di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Kuala Lumpur, semalam.

Memegang watak sebagai ‘Detektif Lim’, hari istimewa itu bertambah bermakna apabila menerima ucapan tahniah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang kebetulan berada di pejabat Jawi pada ketika itu.

Memuat naik ciapan di Twitter, Zulkifli mendoakan agar Farid kekal bahagia bersama isteri tercinta selain sempat berseloroh mengenai watak dipegang pelakon itu dalam drama siri Gerak Khas.

“Selamat pengantin baharu diucapkan kepada ‘Sub Inspektor Lim’ daripada Gerak Khas.

“Kebetulan terserempak dengan beliau selepas selesai urusan di Jawi, Kuala Lumpur semalam.

“Semoga Farid Amirul Hisham Abdullah dan isteri berbahagia dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

“Saya pasti ‘DCP Datuk Helmi’ dan ‘Detektif Lingam’ amat gembira dengan perkhabaran ini,” katanya.

‘Helmi’ merupakan watak yang dipegang pengarah Datuk Yusof Haslam sementara ‘Lingam’ pula adalah rakan sepasukan ‘Lim’ dalam drama tersebut.

Apa yang menarik Zulkifli mengingati watak-watak dalam drama berkenaan sekaligus mengundang rasa kagum warga maya.

Mula ditayangkan sejak 1999, Gerak Khas sudah bersiaran lebih seribu episod sebelum siri terakhirnya disiarkan di TV3.

Drama kepolisan ini turut dibintangi Abby Abadi, Erra Fazira, Norman Hakim dan Salina Saibi.

Loading...

Leave a Reply