Dendam, marah keluarga punca Siti Masitah dibunuh kejam

DENDAM dan marah kepada keluarga dipercayai menjadi punca kepada pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Siti Masitah Ibrahim.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Othman Nanyan, berkata siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dipercayai dibunuh pada 30 Januari lalu iaitu hari sama dilaporkan hilang oleh ibunya di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.

Beliau berkata, susulan laporan polis diterima pihaknya, suspek lelaki warga Kemboja berusia 23 tahun ditahan pada jam 2 pagi 31 Januari lalu di sekitar Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan pengakuan suspek, Siti Masitah dipukul menggunakan kayu dan polis sudah merampas senjata yang dipercayai digunakan suspek.

“Suspek adalah kenalan kepada keluarga mangsa dan tinggal sekampung dengan keluarga Siti Masitah.

“Hasil soal-siasat, pada awalnya mendapati lelaki terbabit tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan mangsa, namun soal siasat lanjut akhirnya mendedahkan pembabitannya,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Othman berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pada 11 pagi mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan parah pada kepalanya.

“Terdapat tiga kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri dan belakang kepala.

“Punca kematian adalah disebabkan ‘Probable Head Injury’. Bedah siasat mendedahkan jantina mangsa ada perempuan,” katanya.

Othman berkata, ketika mayat ditemui kelmarin, ia dalam keadaan tertiarap dan hampir reput serta tangan dalam keadaan diikat dari belakang.

“Kami percaya mangsa sudah mati dalam tempoh lebih tujuh hari.

“Kami masih menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan mayat Siti Masitah,” katanya.

Beliau berkata, supek kini direman tujuh hari sehingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Othman turut menafikan, penularan berita yang mengaitkan kematian mangsa dengan sindiket penjualan organ manusia dan tidak menolak kemungkinan keadaan mayat yang tidak sempurna ditemui disebabkan haiwan liar.

Semalam media melaporkan, mayat Siti Masitah ditemui orang ramai pada 4 petang kelmarin di kawasan belukar Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, dalam keadaan tidak sempurna dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia.

Siti Masitah dilaporkan keluar dari rumahnya pada 5 petang, 30 Januari lalu untuk ke kedai runcit sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah.

Ibu mangsa, Zaleha Abdullah, 35, yang juga warga Kemboja kemudian membuat laporan polis pada 11 malam hari mangsa dilaporkan hilang sebelum membawa kepada penahanan suspek beberapa jam kemudian.

Suspek ditahan susulan dakwaan penduduk kampung yang melihat kelibat Siti Masitah menaiki motosikal dengan suspek sebelum lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here