Portal berita terbaik anda

Utama

Rakaman dashcam kemalangan di Bayan Lepas, Myvi putih tidak bersalah

Viral di media sosial rakaman dashcam menunjukkan sebuah kereta Suzuki Swift merempuh tiga kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat.

Kejadian yang berlaku di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu menyebabkan pemandu kereta tersebut maut.

Memetik laporan Harian Metro, tiga lagi lelaki cedera selepas dirempuh kenderaan mangsa yang hilang kawalan di persimpangan Jalan Sultan Shah dan Jalan Tengah.

Menerusi rakaman dashcam yang dimuatnaik Penang Kini, kelihatan kereta Suzuki Swift berwarna merah datang dari arah belakang melanggar Myvi yang berhenti di lampu isyarat.

Rempuhan yang kuat menyebabkan kedua-dua kereta tersebut berpusing dan terbalik.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden AA Anbalagan, pemandu kereta berkenaan yang berusia 30 an mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Kereta dipandu lelaki berkenaan merempuh bahagian belakang Perodua Myvi dan Toyota Vios serta motosikal.

Akibat rempuhan itu, pemandu kereta berkenaan parah di kepala, namun dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Tambahnya lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, tiga lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu juga, seorang lelaki yang membuat rakaman video di lokasi kejadian bersama dengan seorang lagi lelaki didapati menuduh pemandu Perodua Myvi yang menjadi punca kemalangan itu.

Lelaki 1: “Gilo, mabuk ka apa? Hang mabuk ka?”

Perakam: “Langgar lampu isyarat ka apa?”

Mangsa: “Takda! Takda! Takda!”

Lelaki 1: “Hang tengok apa jadi semua!”

Pemandu Myvi kelihatan masih bingung selepas keretanya dirempuh dengan kuat Suzuki Swift.

Mangsa: “Takda! Takda! Bukan! Bukan! Saya berhenti di sini…”

Lelaki 2 (Baju biru): “Kenapa ni?

Perakam: “Dia langgar lampu isyarat!

Lelaki 2 (Baju biru): “Owhhhh!”

Perakam: “You Berhenti apa? Lampu sudah merah! Jaga eh, semua sudah rakam. Standby! Tepi-tepi ini semua ada, jaga eh! Hang tengok apa jadi semua, eiii! Nasib baik tadi. Langgar lampu isyarat, habis semua orang jadi mangsa.

Lelaki 1: “Bang! Bang! Tahan sat! kena pegang! Kena pegang!”

Fitnah yang dilemparkan oleh dua lelaki itu membuatkan netizen bengang, malah mengecam tindakan dua lelaki terbabit cuba menjadi hero yang tidak diundang.

“Amboi konon nak jadi hero la tu. Sampai-sampai lokasi siap main tuduh je. Kesian uncle tu dok pening lagi. Bang moto, baik hang pi minta maaf balik dengan uncle tu,” kata netizen.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menjadi ‘palatao’ apabila berada di lokasi kemalangan.

Sebaik-baiknya dapatkan maklumat yang tepat sebelum menyebarkannya di media sosial.

Tindakan menyebarkan fitnah boleh menyebabkan anda dikenakan tindakan undang-undang.

Loading...

Leave a Reply