DAP Melaka tolak Rahim Thamby Chik sertai PH

MELAKA – Permohonan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, dan pengikutnya ke dalam mana-mana parti komponen PH Melaka harus ditolak, kata Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.

Beliau menegaskan penerimaan veteran Umno berusia 68 tahun itu boleh merosakkan integriti kerajaan negeri serta melemahkan keyakinan rakyat terhadap PH.

Justeru, Khoo, yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, menyeru Bersatu menolak permohonan keahlian daripada bekas Ketua Menteri itu yang terpalit dengan pelbagai skandal.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini bagi mengulas tindakan Abdul Rahim, yang juga bekas naib presiden Umno, bersama lebih 100 pengikutnya mengumumkan akan menyertai Bersatu.

Abdul Rahim menyerahkan borang keahlian kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusoff, yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu, dalam satu majlis di Ayer Keroh, di sini hari ini.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *