Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Sukan

‘Dah macam perang’ – Penyokong Indonesia bertempur bersama polis di luar GBK

Penyokong Malaysia yang bertandang ke Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK), Jakarta berhadapan dengan detik-detik cemas iaitu suasana huru-hara yang boleh diibaratkan seperti sebuah peperangan.

Sejurus sahaja tamat perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK), penyokong Malaysia terpaksa berlari keluar dari kawasan tempat duduk yang dikhaskan untuk penyokong pasukan pelawat.

Kekalahan pasukan Garuda hasil jaringan gol pada masa kecederaan telah memburukkan lagi keadaan apabila sebahagian penyokong tuan rumah seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan bertindak di luar batasan kemanusiaan.

Semua penyokong pasukan negara termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah dikumpulkan di dalam ruangan VIP. Ini berikutan tiada lagi ruangan lain di dalam dan luar stadium yang selamat untuk mereka.

CNN Indonesia melaporkan tiga orang penyokong Malaysia cedera dan telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Keadaan di luar stadium pula menjadi tidak terkawal setelah penyokong Indonesia memulakan rusuhan di hadapan pintu VVIP sehingga memaksa anggota keselamatan mengambil tindakan tegas.

Bagi meleraikan perusuh yang berkumpul di hadapan pagar utama, pihak polis bertindak melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penyokong Indonesia.

Bunyi tembakan demi tembakan yang dilepaskan untuk meleraikan rusuhan jelas kedengaran menjadikan keadaan semakin serius.

Malangnya tindakan itu tidak berkesan. Penyokong tuan rumah bertindak balas dengan menjerit-jerit dan kemudiannya pasukan keselamatan mula dihujani pelbagai objek keras seperti batu, botol air dan galah.

Pihak wartawan serta jurukamera yang bertugas mengambil gambar dan video kejadian juga tidak terlepas daripada menerima ancaman perusuh.

Bagi mengelak berlaku insiden yang tidak diingini, pihak anggota keselamatan telah membuat kawalan ketat di hadapan pintu utama kawasan berkenaan bagi memastikan penyokong Malaysia yang masih berada di dalam stadium berada dalam keadaan selamat.

Sekitar jam 11.30 malam, hasil kerjasama pasukan polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI), keadaan sudah mula terkawal dan perusuh-perusuh mula meninggalkan perkarangan stadium.

Jam 12.00 tengah malam, penyokong Malaysia dibenarkan keluar dari stadium dan terus masuk ke dalam bas masing-masing.

Sebagai langkah berjaga-jaga, perjalanan semua bas dari stadium ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta telah dikawal dengan rapi dengan diiringi kenderaan polis.

Pihak berkuasa Indonesia sepatutnya sedar pertembungan di antara dua musuh tradisi Nusantara ini sememangnya ‘panas’ dan boleh menjangkakan kejadian buruk seperti ini akan berlaku memandangkan ianya bukan kali pertama berlaku di Jakarta.

Keganasan telah berlaku sebelum, semasa dan selepas perlawanan. Ianya menunjukkan seolah-olah terdapat sebuah gerakan terancang didalangi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan rakaman-rakaman gambar dan video yang memaparkan secara jelas wajah-wajah individu yang terlibat dengan rusuhan, pihak berkuasa Indonesia sewajarnya memburu suspek-suspek ini dan menjatuhkan hukuman yang berat.

Pihak FIFA juga perlu memberikan pengajaran bukan sahaja dengan denda berupa wang, tetapi melaksanakan hukuman potongan mata supaya penyokong Indonesia sedar tindakan melampau yang dilakukan akan memberi kesan buruk kepada pasukan kebangsaan mereka.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén