Portal berita terbaik anda

Jenayah

‘Dah macam dalam filem aksi’ – Polis kejar treler curi di Besut

BESUT – Bagai aksi dalam filem! Itu yang menggemparkan penduduk Besut selepas menyaksikan adegan polis mengejar penjenayah sejauh lebih 30 kilometer (km) sambil melepaskan tembakan dalam usaha memberhentikan sebuah treler dipercayai dicuri di Pusat Bandar Jengka, Pahang, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Unit Kereta Peronda (MPV) polis berjaya mengesan kedudukan treler yang dilaporkan hilang itu di sekitar bandar Besut sebelum cuba menahan pemandu dan kelindan kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata sebaik menyedari kehadiran polis, pemandu treler terbabit memecut laju kenderaan itu untuk meloloskan diri sejauh lebih 30 kilometer dari lokasi awal ia ditemui.

Katanya, dalam usaha meloloskan diri daripada ditahan, pemandu treler terbabit beberapa kali cuba merempuh MPV yang mengejar sehingga memaksa anggotanya melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan berkenaan.

“Walaupun tayar depannya sudah pecah, pemandu berkenaan tetap meneruskan pemanduannya tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain sebelum dilaporkan terbabas sebaik tiba di Kampung Oh, Besut.

“Justeru, polis berjaya menangkap pemandunya iaitu lelaki tempatan berusia 40-an, manakala kelindannya berusia 30-an berjaya meloloskan diri melalui kawasan kebun kelapa sawit berhampiran,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pemandu treler berkenaan mempunyai 16 rekod lampau membabitkan pelbagai kes jenayah.

Katanya, ketika ditahan pemandu treler terbabit didapati mengalami kecederaan di bahagian telinga kiri dipercayai akibat terkena serpihan kaca yang pecah ketika anggota berkenaan melepaskan tembakan.

“Siasatan awal mendapati, treler tanpa muatan terbabit dalam perjalanan untuk dibawa ke Tanah Merah, Kelantan, namun kita masih menyiasat motif kejadian.

“Usaha memburu seorang lagi rakannya iaitu kelindan treler yang dikenali sebagai ‘Mamak’ masih dijalankan di sekitar Kampung Oh dan kawasan berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply