Portal berita terbaik anda

Utama

Covid-19: Boss Mydin cadang potong gaji penjawat awam berpendapatan RM3,000 ke atas

PETALING JAYA – Taikun sektor runcit terkenal mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan Putrajaya mengekalkan gaji kakitangan awam.

Ini tidak seperti sektor swasta yang mengumumkan potongan gaji dan pembuangan pekerja susulan kesan kewangan akibat krisis Covid-19 yang sedang berlaku.

Pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, hasil kerajaan akan terkesan bukan sahaja kerana kejatuhan harga eksport seperti minyak mentah dan minyak sawit, tetapi juga kemerosotan kutipan pelbagai cukai, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berikutan penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan pengguna.

“Syarikat perniagaan terhimpit dan semua orang dalam sektor swasta menghadapi potongan gaji, termasuk mereka yang bekerja sendiri. Kita semua terkesan,” kata Ameer kepada FMT.

Beliau berkata, syarikatnya membuat potongan gaji kakitangan sehingga 50% dan menghentikan bayaran kepada pengarah atasan.

“Kami tidak ada pilihan. Sama ada terima potongan gaji atau gulung tikar,” katanya.

Beliau berkata, banyak industri terpaksa mengambil langkah drastik, termasuk memberhentikan kakitangan mereka.

Bagaimanapun katanya, keadaan ini tidak berlaku dalam kalangan 1.6 juta kakitangan awam walaupun anggota Kabinet membuat potongan gaji dua bulan seperti diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Menteri dan timbalan menteri menerima potongan gaji. Sesetengah menteri besar dan anggota mereka juga berbuat demikian. Itu bagus.

“Tetapi sebilangan pegawai tinggi kerajaan masih mendapat gaji penuh, termasuk ahli Parlimen dan Adun. Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke atas patut menerima potongan gaji,” kata Ameer.

Beliau berkata, gaji kakitangan awam juga patut dikurangkan, selain menambah bahawa penjimatan itu boleh digunakan bagi membantu golongan miskin yang paling terkesan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ameer berkata, potongan gaji kakitangan awam boleh dibuat berdasarkan peringkat gaji mereka.

Beliau juga berkata, selain pinjaman perumahan yang diambil oleh kakitangan awam melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), semua pinjaman bank lain diberikan moratorium.

“Tiada moratorium diberikan ke atas pinjaman LPPSA kerana kakitangan awam mendapat gaji penuh. Jika mereka menerima potongan gaji maka tentulah harus diberikan moratorium ke atas pinjaman LPPSA.

“Semua orang harus memikul beban ini,” katanya.

Loading...

3 Comments

  1. Kharthigeyan Krishnan

    Saya tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan gaji penjawat awam yang melebihi RM3000. Ini disebabkan kerana mereka pun mempunyai tanggungan dan bebanan yang harus diselesaikan. Terima kasih.

  2. Kayra

    Kakitangan Awam gaji RM 3 Ribu ke atas yang dicadangkan potong gaji oleh Pemilik Mydin itulah yang berbelanja di Mydin.

    Jika kakitangan awam kategori gaji ini dipotong gaji mereka, Pasaraya Mydin akan muflis.

    Saya tidak pasti perkiraan bagaimana yang dibuat oleh beliau. Kakitangan Awam yang menerima gaji sekitar RM 3 Ribu dan menetap di kawasan bandar dikategorikan sebagai MISKIN BANDAR.

    Jika mereka yang hanya menerima RM 3 Ribu hingga RM 3500 ini dipotong gaji, pasti keadaan rakyat menjadi lebih buruk dan kesannya bukan kepada pasaraya Mydin tetapi kepada Kerajaan Tiada PRU ini.

    Pada pandangan saya lebih baik penilaian yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kementerian Kewangan yang menetapkan bantuan tidak diberikan kepada semua rakyat yang menerima gaji RM 8 Ribu ke atas. Itu lebih adil. Contoh yang saya berikan sebelum ini, Cikgu Mail gajinya RM 8001.80, terlebih RM 1.80 maka Cikgu Mail tidak layak menerima bantuan. Kakitangan awam tidak boleh menipu gaji mereka untuk mendapatkan bantuan kerana semuanya dipaparkan dengan jelas dalam Penyata Gaji Bulanan dan Tahunan. Kerajaan mengawal kewangan dengan mudah melalui gaji kakitangan awam.

    Dengan cara ini kerajaan berharap beberapa juta orang kakitangan awam yang menerima gaji ini akan membelanjakan wang gaji mereka supaya ekonomi negara terus bergerak.

    Kenyataan beliau ini sebagai Pemilik Pasaraya Mydin mendedahkan pasaraya itu kepada bahaya. Kakitangan Awam yang berjumlah Beberapa Juta Orang, mungkin sebahagian dari mereka tidak akan berbelanja lagi di Mydin.

    Tambahan pula Pasaraya GIANT yang merupakan pesaing terdekat Pasaraya Mydin kini menawarkan harga yang lebih rendah kepada kebanyakan produk makanan yang dijual. Itu belum dikira lagi pasaraya GIANT menetapkan Frontliners seperti askar, nurse, polis, dll yang memakai uniform kerja mereka atau yang menunjukkan pas kerja mereka dibenarkan masuk terus untuk berbelanja tanpa perlu beratur panjang seperti pelanggan lain. Penghormatan diberikan kepada kategori pelanggan yang berkorban untuk negara.

    Bagaimana pula dengan pasaraya Mydin?

    Tidakkah Pemilik Mydin ini terfikir bahawa ada dalam kalangan pekerjanya yang berkahwin dengan Kakitangan Awam berpendapatan sekitar RM 3 Ribu ini? Ini tidak mustahil memandangkan kadar gaji yang diberikan Mydin kepada para pekerjanya.

    Dengan kupon diskaun pekerja yang diberikan kepada pekerja sahaja, nampaknya Pemilik Mydin hanya memandang kepada kebajikan pekerjanya sahaja tanpa melihat kepada rakyat marhain keseluruhan.

    … atau barangkali ini dia tidak tahu Kakitangan Awam yang menerima gaji RM 3 Ribu yang berbelanja di pasaraya Mydin yang banyak wujud di kawasan bandar merupakan kategori rakyat MISKIN BANDAR.

    Saya cadangkan Pasaraya Mydin memerhatikan cara beberapa Pasaraya yang mengadakan pelbagai kerjasama dengan NGO dan Orang Awam yang melakukan aktiviti kebajikan memberi sumbangan makanan kepada rakyat. Dengan kerjasama ini, produk Mydin akan dapat dijual tanpa mengharapkan pelanggan persendirian datang membeli terutamanya jika Pemilik Pasaraya Mydin sendiri mengharapkan pelanggan tetap yang datang itu dipotong gaji mereka.

    Cuma kadangkala Big Boss kena bangun dari kerusi mahal itu dan kerja kuat lebih sedikit.

    Kayra
    Putrajaya

    #covid19
    #mydin
    #againcadanganpotonggaji
    #stayhomestaysafe

  3. Berat sama dipikul konon...

    Waktu ekonomi bagus, bos2 kompani dan gaji swasta jauh lebih tinggi daripada penjawat awam. Bonus pun ribu2… masa tu tiada pulak CEO ini kluar bagi komen kasi samakan gaji penjawat awam dengan swasta. Bila ekonomi tidak baik, sibuk pulak mamat ni nak minta penjawat awam sama2 tanggung beban… siap mintak potong gaji penjawat awam. Sudahlah gaji penjawat awam memang pun lebih rendah berbanding swasta, kalo di potong lagi… makan rumputla hari2….

Leave a Reply