Portal berita terbaik anda

Utama

Cina Tiruk sebati cara hidup Melayu Terengganu

KUALA TERENGGANU – Sebut sahaja Cina Peranakan, Cina Tiruk, pastinya orang ramai terutama golongan lebih berusia di negeri ini mengenali dan tahu akan kefasihan masyarakat Cina di situ yang menggunakan bahasa Melayu dalam loghat Terengganu.

Sepintas lalu mendengar perbualan di antara masyarakat Melayu dan Cina Tiruk, memang tidak akan perasan itu perbualan antara dua bangsa berbeza, kerana masyarakat Cina Tiruk begitu ‘ligat’ bercakap loghat Terengganu.

“Ambe capor (bergaul) dari kecik lagi, memang pandai cakap Ganung (Terengganu) same macam orang Melayu cakap. Kalau orang kampung lain mari, dia dok tengok muka ambe, memang dia dok perasan ambe (Cina) cakap.

“Se (satu) lagi kalau ayat-ayat orang Melayu biasa guna, ambe sebut je sebab jadi biasa doh, saing-saing Melayu ambe cakap gitu,” kata seorang warga emas Cina Tiruk yang disapa sebagai Pok Jin atau, Koo Ong Jin, 62, dari Kampung Kemang Tiruk.

Begitulah realitinya yang berlaku kepada masyarakat Cina Tiruk di kampung ini, malah semua yang tinggal di situ diberi gelaran ‘Pok’ dan ‘Mek’ sebagai panggilan mesra, sepertimana diberi kepada orang Melayu.

Difahamkan, masyarakat Cina Tiruk kebanyakannya berasal dari daerah Fujian, China dan berhijrah ke Terengganu ketika pemerintahan Dinasti Qing dan mereka berbangsa Hokkien.

Kesemua masyarakat Cina Tiruk di Kampung Kemang Tiruk boleh bertutur bahasa Hokkien dan bukan Kantonis mahupun Mandarin, malah lebih mahir berbahasa Melayu daripada bahasa-bahasa Cina lain.

Terdapat juga Cina Tiruk yang mampu menulis dan membaca tulisan jawi terutama generasi pertama dan kedua kerana didedahkan dengan sekolah Melayu yang menggunakan papan batu pada masa itu.

“Sini semua orang panggil Pok Jin, kalu ada orang luor mari cari ambe sebut nama dalam IC (kad pengenalan) memang payoh nak jumpe tapi kalau sebut Pok Jin, boleh jumpa selalu sebab sekampung dok kira kecik besor, tua muda panggil Pok Jin blake.

“Kami sini beza agama je, tapi ambe tahu sifat 20, dok soh (tak perlu) nak cakap lebih kurang lah kalu sembang bab tu,” cerita Pok Jin yang merupakan generasi keempat Cina Tiruk di kampung berkenaan.

Ditanya mengenai makanan, Pok Jin berkata, dia sukakan makanan orang Melayu termasuk budu, belacan dan ulam-ulaman, malah lebih selesa menggunakan tangan berbanding sudu ataupun penyepit.

“Makang (makan) pakai tangan senang nak cicoh budu, makang dengan sudu tak sedap lagipun jarang makang guna penyepit, wat tubik (keluar) pun masa anak beranok mari rumah masa raya gitu je,” ceritanya yang mengakui perlu mempelajari cara penggunaan penyepit supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat Cina lain.

Lain pula cerita seorang warga emas yang dikenali dengan panggilan Mek atau nama sebenarnya Yee Choo Im, 66.

Mek berkata, dari kecil lagi dia tidak pandai menggunakan penyepit kerana dikelilingi budaya Melayu di kampung yang menggunakan tangan ketika makan.

Mek juga penggemar makanan Melayu, malah setiap hari menu wajibnya adalah budu sebagai pembuka selera menjamah nasi.

“Makang macam orang Melayu juga, pagi-pagi buat nasi goreng, mee goreng, minum air kopi cicoh biskut.

“Balik noreh (menoreh getah) buat lauk ikang singgang, ada ulam, cicoh budu sedap doh, tak payoh lauk lain,” ceritanya.

Ibu tujuh anak itu gemar memakai kain batik dan kebaya nyonya sejak berkahwin ketika berumur 16 tahun lagi.

“Mek memang suka pakai kain batik, tak rajin (pernah) lagi pakai seluor, memang ginilah hari-hari (berkain batik). Pok Awang (mendiang suami) dulu pun suka pakai kain pelekat, gi noreh ke gi kedai ke pakai kain nilah,” katanya.

Menurutnya, banyak budaya atau adat Melayu menjadi ikutan orang Cina Tiruk disebabkan keakraban dua bangsa itu suatu masa dahulu, terutama generasi pertama dan kedua.

Dia yang dibesarkan di kampung itu berkata, masyarakat Cina asalnya dari satu kawasan daerah Hulu Terengganu, sebelum pindah ke kampung sekitar termasuk Pulau Bahagia, Wakaf Tapai dan Kemang Tiruk.

Loading...

Leave a Reply