Cili terlalu murah, 4 petani nekad sedekahkan kepada penduduk

TROLAK – Harga borong cili merah yang dikatakan rendah menyebabkan empat pesara yang mengusahakan tanaman berkenaan melalui kaedah fertigasi di Felda Jaya di sini, berdepan kerugian besar.

Sejak mengusahakan tanaman cili berkenaan Februari lalu, mereka mengatakan harga ditawarkan pemborong sekitar RM1.70 sehingga RM3 sekilogram.

Ia menyebabkan Saifudin Mohd Sirat, 56, Abu Hasan Ahmad, 61, Habib Sairi, 63, dan Sambas Palil, 63, keempat-empatnya pesara Felda hanya memperoleh hasil jualan kira-kira RM3,000 sepanjang mengusahakan tanaman berkenaan.

Saifudin berkata, sejak mengusahakan tanaman berkenaan, pemborong atau orang tengah sering memberi alasan lambakan cili merah di pasaran menyebabkan harganya merudum.

Katanya, mereka mengusahakan kira-kira 3,000 pokok cili merah di tanah seluas kira-kira 0.2 hektar.

Pada masa sama, katanya, setiap minggu, mereka membelanjakan RM700 untuk kos baja, racun serangga selain upah buruh.

“Setiap minggu, kira-kira 450 kilogram cili dituai dan bayangkan, jika pemborong membelinya pada harga maksimum RM3 sekilogram, berapa pendapatan yang kami peroleh selepas ditolak kos penjagaan mingguan.

“Bagaimana pula jika pemborong membelinya pada harga RM1.70 sekilogram, pasti lebih banyak kerugian yang kami tanggung,” katanya ditemui semalam.

Habib pula berkata, adakalanya pemborong memberi alasan cili yang ditanam mereka bukan jenis Cili Kulai 461 sebaliknya ia cili minyak menyebabkan pemborong terpaksa membeli pada harga rendah.

“Memang tidak masuk akal kerana kami menggunakan benih Cili Kulai 461 seperti yang tertera pada bungkusan benih cili berkenaan.

“Ini antara alasan yang terpaksa kami telan sepanjang mengusahakan tanaman ini. Modal permulaan RM26,000 juga masih belum diperoleh,” katanya.

Abu Hasan pula memaklumkan tinjauan dibuat di pasar berdekatan mendapati harga cili bersih yang dibayar pengguna antara RM10 hingga RM15 sekilogram.

“Apabila membandingkan harga yang kami jual pada pemborong menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dan kecewa.

“Untuk menjual secara terus kepada penjual di pasar agak sukar kerana paling tinggi, mereka hanya membeli kira-kira 10 kilogram saja,” katanya.

Sementara itu, Sambas mendakwa, kejatuhan harga cili juga didorong oleh kemasukan cili import dan ia memberi kesan kepada harga cili yang diusahakan pekebun tempatan.

Katanya, dia berharap agensi berkaitan dapat mengambil inisiatif membantu pengusaha cili tempatan.

“Jika harga siling cili yang dijual kepada pemborong diselaraskan kepada RM8 hingga RM10 sekilogram, barulah pekebun tempatan dapat menarik nafas lega.

“Ketika ini, kami memang kecewa malah hampir putus asa. Ada cili yang kami sedekahkan saja kepada penduduk,” katanya.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *