Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Amanat terakhir, Cikgu Ghani minta sampaikan 1,500 kampit beras sebelum meninggal dunia

BEKAS guru yang sering melakukan kerja amal, Abdul Ghani Haron meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Petani dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) semalam.

Abdul Ghani, 63, menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Che Su Desa, 63, dan dua anaknya di dalam ambulans hospital pada 5.30 petang.

Che Su berkata, suaminya dimasukkan ke hospital sejak 19 Disember lalu akibat jangkitan kuman di tiub yang dipasang pada tubuhnya untuk tujuan dialisis.

“Tengah hari tadi arwah baru selesai menjalani pembedahan membuka tiub dialisis itu, dia kelihatan ceria dan berbual dengan kami anak beranak seperti biasa.

“Bagaimanapun, bacaan tekanan darahnya semakin menurun membuatkan saya tidak sedap hati dan mengambil keputusan membawanya pulang ke rumah memandangkan arwah pernah kata dia tidak mahu meninggal dunia di hospital,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Masjid, Tikam Batu di Sungai Petani hari ini.

Che Su berkata, pada tengah hari tadi suaminya minta dia dan anak menyediakan 1,500 kampit beras lima kilogram untuk disedekahkan kepada orang ramai esok.

“Sebelum ini, memang arwah sering berpesan sekiranya dia meninggal dunia, arwah nak sedekah 1,500 kampit beras pada hari jenazahnya dibawa ke masjid.

“Saya kata pada arwah kita mana tahu bila hari kita nak meninggal, pada tengah hari dia minta pada kami untuk sediakan beras itu,” katanya.

Menurutnya, walaupun suaminya sudah tiada lagi, dia serta anaknya akan tetap meneruskan kerja amal yang dilakukan arwah sekiranya masih diberi kepercayaan.

Katanya, ketika ini dia akan menggunakan semua sumbangan sedia ada untuk merealisasikan projek sedekah jariah yang dirancang arwah bersama rakan Facebook.

“Kami akan meneruskan kerja amal yang selama ini diusahakan arwah selagi diberi kepercayaan tapi mungkin tidak sekerap seperti masa arwah ada.

“Saya berterima kasih kepada semua yang sudah menyumbang dan memberi kepercayaan buat arwah selama ini dalam menjalankan amal jariah ini,” katanya.

Che Su berkata, wakaf air bertapis yang berada di rumah mereka akan tetap diteruskan sehingga bila-bila seperti permintaan arwah selain suaminya juga meminta sebahagian pencennya dimasukkan ke tabung sedekah jariah yang digunakan bagi tujuan amal.

Jenazah Abdul Ghani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Barakah, Tikam Batu pada 10 pagi hari ini.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén