Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Dunia

Cesar Pelli, pereka Menara Berkembar Petronas meninggal dunia

BUENOS AIRES – Argentina kehilangan seorang arkitek profesional yang juga pereka Menara Berkembar Petronas, Cesar Pelli pada Jumaat, lapor agensi berita tempatan negara itu, Telam.

Pemergian Pelli pada usia 92 tahun nyata meninggalkan kesan dalam industri arkitek kontemporari, lapor Reuters.

Melanjutkan pengajian dalam jurusan senibina, nama Pelli amat sinonim dengan hasil kerjanya menghasilkan reka bentuk beberapa buah bangunan tertinggi di dunia dan pelbagai lagi mercu tanda bandaraya utama.

Empayar kreativitinya berkembang sehingga ke Amerika Syarikat di mana terletaknya studio utama mendiang.

“Saya dengan penuh rendah diri menerima berita sedih tentang pemergian seorang arkitek yang hebat, Cesar Pelli. Takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan pasukannya.

“Dia merupakan seorang pencipta dan legasinya akan kekal buat selamanya dalam setiap karya rekaannya,” kata Governor Tucuman, Juan Manzur dalam Twitter miliknya.

Sebagai rekod, pada tahun 1977, Pelli dilantik sebagai dekan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Yale, Amerika Syarikat dan merupakan pengasas Cesar Pelli & Associates.

Kegemilangan Pelli antaranya adalah menghasilkan rekaan KLCC yang mula dibina pada tahun 1996 dan pada waktu itu, menara berkembar itu merupakan menara tertinggi di dunia.

Menara berkembar KLCC

Selain itu, Pelli turut terkenal dengan magisnya mereka Pusat Kewangan Dunia di New York, Menara Canary Wharf di London dan kerja-kerja ubah suai muzium seni moden di New York.

Dalam pada itu, syarikat tenaga Argentina, YPF yang berpangkalan di Buenos Aires turut mendapat sentuhan Pelli.

Ternyata sentuhan Pelli bukan setakat di Argentina, malah kemegahan kreativitinya turut menjangkau hampir ke seluruh dunia. – Agensi

Leave a Reply

Theme by Anders Norén