Portal berita terbaik anda

Utama

Caj pelitup muka RM11.20 sekeping, hospital swasta dikompaun RM200,000

KUALA LUMPUR – Sebuah hospital swasta ditawarkan kompaun sebanyak RM200,000 selepas didapati bersalah menjual penutup hidung dan mulut tiga lapisan pada harga melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan.

Berikutan itu, hospital terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, sekiranya kompaun gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan, hospital akan dituduh di mahkamah.

Penalti bagi kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 18, AKHAP 2011 bagi suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan, didenda tidak melebihi RM 500,000.00 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000.00.

”KPDNHEP serius dalam memastikan bekalan penutup mulut dan hidung mudah diperoleh pada harga yang tidak melebihi penentuan harga maksimum yang ditetapkan,” katanya di sini.

Tindakan itu dijalankan selepas KPDNHEP mengesan satu isu yang tular di laman Facebook berkenaan pesakit yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta yang telah dikenakan caj sebanyak RM 201.60 bagi 18 keping topeng muka 3 lapisan yang digunakan oleh jururawat ketika merawat anak beliau.

Jumlah tersebut bersamaan dengan RM11.20 sekeping sedangkan harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan adalah RM1.50 sekeping.

Bertindak atas aduan tersebut pada 13 Mei 2020, sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP telah melakukan pemeriksaan ke atas hospital tersebut dan telah menyoal siasat pengurusan hospital serta merampas sejumlah dokumen termasuk topeng muka tiga lapisan yang sama jenis daripada hospital berkenaan untuk tujuan siasatan.

Kementerian itu mengingatkan semua pihak yang menjual barangan harga terkawal supaya sentiasa prihatin dan mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply