Cagu punya pasal, kaki melecur teruk

0
134

SEORANG anggota tentera kini menderita apabila kedua-dua kakinya melecur teruk selepas didakwa direndam dalam air panas secara paksa oleh jurulatih dan anggota senior kononnya untuk mengubati cagu yang dialami.

Akibat kejadian jam 3 pagi 14 Ogos lalu di sebuah kem tentera di Batu Gajah, mangsa, 20, terpaksa menjalani pembedahan membuang kulit dan daging kedua-dua kaki yang rosak sekali gus masih terlantar di hospital.

Mangsa yang baru tujuh bulan bertugas di kem terbabit dikejarkan ke Hospital Batu Gajah sebelum dirujuk Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada hari kejadian.

Ia susulan kulit kakinya mengelupas dan tertanggal akibat melecur teruk sejurus selepas direndam dalam baldi yang mengandungi air panas serta dicampur dengan garam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah Superintendan Tan Boon Hooi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian apabila bapa mangsa membuat laporan polis semalam dan anggota tentera terbabit kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar kerana berhampiran dengan rumah keluarganya.

“Berdasarkan laporan, bapa mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai tentera pada 14 Ogos lalu memaklumkan anaknya berada di HRPB dan bapa mangsa kemudian ke hospital berkenaan sebelum mendapati anaknya dalam keadaan melecur yang teruk dan trauma.

“Anaknya memberitahu kedua-dua kakinya dipaksa dicelup ke dalam air panas dalam sebuah baldi oleh jurulatihnya serta dibantu seorang anggota tentera lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati jurulatih itu menawar diri untuk merawat masalah kaki anak buahnya yang luka dan cagu.

“Mangsa dikatakan bersetuju pada mulanya kerana mempercayai jurulatih terbabit yang sudah menyediakan baldi mengandungi air panas bercampur garam.

“Jurulatih terbabit dipercayai mengarahkan mangsa mencelup kedua kakinya ke dalam baldi berkenaan tetapi mangsa menolak kerana dapat merasakan air itu terlalu panas dan akan merasa sakit serta pedih.

“Mangsa diarah beberapa kali untuk merendam kaki dalam baldi berkenaan namun enggan sebelum jurulatihnya dipercayai secara paksa dengan dibantu seorang lagi anggota tentera bertindak memegang kaki mangsa dan mencelupkannya ke dalam baldi berisi air panas itu,” katanya.

Menurutnya, akibat itu mangsa meronta meminta dilepaskan, tetapi tidak diendahkan dan kakinya direndam selama kira-kira 20 minit hingga melecur, kulit mengelupas dan darah keluar daripada kaki.

Katanya, polis sudah menahan tiga individu, hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here