Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

Bunuh Zulfarhan: 18 diarah bela diri, seorang dibebaskan

LAPAN BELAS penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes kematian membabitkan Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Hanya seorang tertuduh bebas mutlak iaitu Muhammad Akmal Akif Alias, 23, yang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri bagi pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Dalam keputusannya, Azman memerintahkan lima tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri membela diri atas pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali juga diperintah membela diri atas pertuduhan bersubahat membunuh mangsa.

Suspek utama kes bunuh Zulfarhan

Kesemua tertuduh yang berusia 23 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Keenam-enam tertuduh bersama 12 penuntut yang lain turut diarah membela diri atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Bagaimanapun, tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mencederakan mangsa dalam kejadian 21 Mei 2017.

Bagi kejadian pada 22 Mei 2017 pula seorang tertuduh dilepas dan dibebaskan.

Perbicaraan kes yang bermula pada 29 Januari 2018 itu memanggil 29 saksi pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Galeri awam mahkamah dipenuhi dengan keluarga mangsa dan tertuduh yang hadir seawal jam 7.30 pagi untuk mengikuti keputusan kes itu.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén