‘Bukan niat saya aibkan penduduk’ – Rider Foodpanda rakam flat penuh sampah di Pulau Pinang

“Bukan niat saya untuk mengaibkan penduduk di situ tetapi sekadar berkongsi pengalaman kerja sebagai penghantar makanan,” kata penghantar makanan, Muhammad Hibatullah Danial Zaharin.

Muhammad Hibatullah, 20, yang menetap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang memberi reaksi itu ketika diminta mengulas video dimuat naiknya di TikTok, baru-baru ini.

Video itu menunjukkan keadaan sebuah flat yang dicemari dengan sampah sarap termasuk di bahagian tangga.

Sehingga kini, video berkenaan sudah meraih 1.1 juta tontonan dengan rata-rata warganet mempersoalkan sikap dan tahap kebersihan penduduk di situ.

Bercerita lanjut, Muhammad Hibatullah berkata, video itu dirakam pada 6 Januari lalu ketika menghantar makanan kepada pelanggan di sebuah flat dekat Perai, Pulau Pinang.

Namun, dia memuat naiknya pada 20 Januari lalu dan terkejut apabila mendapat banyak maklum balas hingga tular di laman sosial.

“Saya ke situ dua minggu lalu iaitu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kira-kira jam 10.30 malam.

“Sebenarnya, itu bukan kali pertama tetapi kedatangan ketiga ke flat berkenaan untuk menghantar pesanan pelanggan dan memang tahu mengenai keadaan persekitaran di situ.

“Cuma, saya tidak dapat mengelak atau membatalkan pesanan diterima kerana enggan ia mempengaruhi tahap penilaian prestasi kerja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro .

Muhammad Hibatullah mengakui geli dengan keadaan persekitaran di flat berkenaan kerana terlalu kotor.

Namun, dia lakukannya juga kerana kerja dan tanggungjawabnya untuk menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.

“Tipu kalau saya katakan tidak geli tetapi sudah tugas saya sebagai penghantar makanan untuk memastikan pesanan sampai ke tangan pelanggan.

“Pada hari itu, pelanggan terbabit enggan turun jadi saya tiada pilihan kecuali naik ke rumahnya di tingkat dua.

“Lif pula rosak jadi saya terpaksa gunakan tangga yang berbau busuk kerana dipenuhi dengan sampah sarap,” katanya yang bekerja sepenuh masa sebagai penghantar makanan sejak November 2019.

Bagaimanapun, Muhammad Hibatullah tidak menyalahkan semua penduduk di flat sebagai punca kepada masalah pencemaran di situ.

“Saya percaya, hanya segelintir dan tidak semuanya bersikap sebegitu (membuang sampah merata-rata).

“Malah, pasti ada di antara mereka tidak mahu tetapi terpaksa menetap di situ kerana kadar sewa yang murah atau ada sebab lain.

“Jadi, saya anggap apa yang dilalui itu itu sebahagian cabaran perlu ditempuhi untuk mencari rezeki,” katanya.

Loading...

Leave a Reply