Sebabkan kematian kanak-kanak, pengasuh dipenjara 18 bulan

0
280

PETALING JAYA: Rata-rata netizen menyuarakan rasa tidak percaya dan marah susulan hukuman penjara 18 bulan terhadap seorang pengasuh yang menyumbat cili hijau ke mulut kanak-kanak jagaannya hingga menyebabkan kematian.

Meluahkan pandangan menerusi media sosial, ramai dalam kalangan mereka menganggap ada kesalahan ringan telah dikenakan hukuman yang lebih berat.

“Nilai kehidupan seorang kanak-kanak hanya selama 18 bulan penjara????!!!

“Ibu bapanya akan merana sepanjang hayat mereka dan pembunuh itu hanya akan dipenjara selama 18 bulan?” kata Kreesha Kate Caronan.

Seorang pengguna Facebook, Jason Lim berkata orang lain telah dipenjarakan lebih daripada 18 bulan kerana ‘mencuri beberapa biji kelapa’.

“Ia sepatutnya dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan khidmat masyarakat selama 10 tahun.

“Sekurang-kurangnya perkara ini akan memberi peluang kepada dirinya untuk menebus kesalahan dengan melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat,” tulisnya.

Selain itu, Hargeet Dhillion pula berkata: “Hanya 18 bulan penjara untuk mengambil nyawa seorang kanak-kanak.. sangat tidak adil.”

Sementara itu, beberapa netizen lain turut tertanya-tanya mengapa wanita tersebut terpaksa menyumbat cili ke mulut kanak-kanak lelaki itu.

“Sangat sedih, apa yang membuatkan dia menyumbat cili hijau ke dalam mulut budak itu?

“Dia sedang sakit dan ianya normal bagi kanak-kanak yang sakit untuk merengek. Dia hanya mahukan keselesaan,” kata Welly Chua.

“Kenapa awak hendak sumbat cili ke dalam mulut kanak-kanak?” tulis Ken Robert.

Dalam kes itu, Muhammad Afif Kamarol Azli yang berusia dua tahun enam bulan sedang sakit pada pagi 13 Jun dan tidak berhenti merengek walaupun telah dipujuk oleh tertuduh, Asmarani Ghazali.

Tertuduh kemudian bertindak mengambil cili hijau daripada peti sejuk, mematahkannya dua dan memasukkan cili hijau itu ke mulut kanak-kanak berkenaan untuk membuatkan budak itu berhenti merengek.

Asmarani, yang telah mengasuh Muhammad Afif selama dua tahun, pada mulanya mengaku tidak bersalah ketika dituduh membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ibu kepada tiga anak itu kemudian ditahan dengan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak, yang dibaca bersama dengan Seksyen 31 (5) (b). Ia membolehkan dirinya dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 jika disabit kesalahan.

Tertuduh telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Jais di Seremban. – Asia One

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here