Portal berita terbaik anda

Politik

‘Bubar Umno, masuk PAS semua’

Pemimpin PAS melihat zaman untuk Umno sudah berlalu sesudah gagal mempertahankan kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, penyelesaian terbaik buat Umno adalah dengan membubarkan parti itu.

“Pada pandangan saya zaman untuk Umno ini sudah berlalu. Penyelesaian terbaik adalah bubar Umno.

“Masuk PAS semua, habis cerita. Banyak masalah boleh selesai, kalau mereka nak masuk PAS kita terbuka, ” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangan peribadi mengenai langkah sesuai bagi Umno untuk kembali meraih keyakinan rakyat.

Terdahulu, Umno yang mengetuai gabungan BN tewas kepada Pakatan Harapan yang kini membentuk kerajaan persekutuan bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, pengaruh Umno dilihat semakin mencabar selepas beberapa parti komponen BN keluar daripada gabungan itu khususnya di Sarawak.

Sebagai rekod Umno akan mengadakan pemilihan pada 23 Jun di peringkat sayap parti, manakala peringkat pusat pada 30 Jun.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga menteri besar Kelantan enggan mengulas lanjut ketika ditanya siapakah pimpinan Umno yang perlu diangkat sebagai presiden parti itu pada pemilihannya tidak lama lagi.

“Saya tak nak komenlah sebab Umno ini parti lain, kalau komen macam ganggu rumah tangga mereka, ” jelasnya.

Loading...

Leave a Reply