Portal berita terbaik anda

Jenayah

Broker wanita bunuh kucing direman 4 hari

BUKIT MERTAJAM – Wanita yang dipercayai memukul dua kucing sehingga seekor haiwan itu mati dalam kejadian di Pintas Kalui, Seberang Jaya kelmarin direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Hakim membenarkan suspek direman selama empat hari hingga Ahad ini untuk membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melakukan siasatan.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini jam 10 pagi tadi oleh polis.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari kelmarin, wanita yang bekerja sebagai broker berusia 51 tahun itu dikatakan berang terhadap dua kucing berkenaan yang membuang najis di hadapan rumahnya.

Ekoran itu, dia bertindak di luar jangka apabila mengambil sebatang besi dalam keretanya sebelum memukul dua kucing yang ketika itu sedang makan.

Akibat daripada perbuatan itu menyebabkan seekor kucing yang bunting mati manakala seekor lagi mengalami luka di mulut.

Kejadian bagaimanapun disedari seorang juruteknik lelaki berusia 30 tahun yang kemudian melaporkannya kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat JPV, Azhar Ahmad berkata, siasatan awal pihaknya mendapati dua kucing itu tidak bertuan dan berkeliaran di kawasan perumahan berkenaan.

“Semalam pihak JPV pergi semula ke rumah suspek selepas soal siasat dijalankan serta membuat rampasan pakaian serta besi yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Sebelum itu, kita sudah mengambil bangkai kucing yang mati dan dihantar ke makmal veterinar untuk proses bedah siasat,” katanya.

Seekor lagi kucing yang cedera dilaporkan masih menerima rawatan berikutan mukanya bengkak dan mengalami kesukaran untuk makan.

Loading...

Leave a Reply