Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Info

Bolehkah isteri hantar jenazah suami ke kubur?

SEBAGAI penghormatan terakhir, pastinya setiap isteri ingin turut sama mengiringi jenazah suami apabila meninggal dunia ke tanah perkuburan.

Di hati mereka, mungkin ingin melihat suaminya hingga ke saat terakhir, atau disebabkan rasa bersalah dengan tanggapan masyarakat apabila tidak mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sehingga sanggup pergi walaupun sekadar duduk di kereta.

Namun, tanpa sedar perbuatan tersebut dilarang dalam Islam kerana ketika itu si isteri sudah berada dalam tempoh iddah dan berkabung.

Isteri yang kematian suami perlu menjalani tempoh iddah selama empat bulan 10 hari dan berkabung. Hendaklah dia tinggal dalam rumah sehingga selesai iddahnya kecuali dalam keadaan darurat atau disebabkan keperluan penting seperti bekerja, mendapatkan rawatan perubatan dan membeli keperluan asasi.

Itu pun sekiranya tiada ahli keluarga yang boleh membantu, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab dalam iddah seperti yang disyariatkan Islam.

Sabda Rasulullah SAW kepada Furai’ah, seorang wanita kematian suaminya yang bermaksud: “Tinggallah di rumahmu sehingga selesai masa iddahmu.” – Riwayat Abu Daud

Tetapi, mengiringi jenazah suami tidak termasuk dalam keperluan yang diharuskan kepada wanita yang sedang berada dalam tempoh iddah akibat kematian dan berkabung.

Perkara lain yang tidak termasuk dalam keperluan tersebut adalah keluar untuk berziarah, melawat orang sakit, ziarah kubur termasuk menziarahi kubur suami dan mengiringi jenazah bapa.

Selepas tamat tempoh iddah, bolehlah mereka menziarahi kubur suaminya tetapi perlu memelihara syariat dan adab ketika ziarah tanah perkuburan.

Antaranya menutup aurat dengan sempurna, menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, tidak membuat bising dengan jeritan atau tangisan yang melampau, jadikan kehadirannya itu sebagai peringatan kepada saat kematian dan akhirat.

Mereka juga perlu menjaga adab dan adat setempat dalam menziarahi tanah perkuburan yang tidak bercanggah dengan Islam, tidak melakukan perkara khurafat dan tidak menjadi penyebab kepada fitnah.

Sebagai isteri, mereka tidak perlu berasa bersalah dengan tanggapan masyarakat apabila tidak mengiringi jenazah suaminya ke tanah perkuburan.

Sebaliknya, mereka perlu rasa bersalah kepada Allah jika sanggup melakukan apa yang dilarang dalam Islam semata-mata untuk menutup mulut masyarakat.

(SUMBER: Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan/ Laman web Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan)

Leave a Reply

Theme by Anders Norén