Boikot pemimpin PAS gagal, Polis Evo 2 cipta rekod baharu

0
931

BIARPUN berdepan boikot daripada pemimpin PAS, filem “Polis Evo 2” berjaya mencatat sejarahnya yang tersendiri.

Filem aksi yang diterbitkan oleh Astro Shaw Sdn. Bhd. dan SCM TBK mencipta rekod baharu apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM3.5 juta pada hari pembukaannya pada 22 November lalu.

Rekod kutipan pembukaan tertinggi sebelum ini dipegang oleh filem Munafik 2, dengan jumlah kutipan sebanyak RM2.05 juta.

Sebelum ini, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Md Nor menggesa rakyat Malaysia supaya memboikot filem Polis Evo 2 kerana cuba memberi imej buruk kepada Islam.

Bagaimanapun, Mufti Wilayah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi pandangan bahawa filem tersebut tidak mengandungi mesej penghinaan kepada Islam.

Zulkifli dalam satu kenyataan berkata, filem yang sudah ditonton secara keseluruhan itu hanya mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara.

“Polis Evo 2” dibintangi Shaheizy Sam, Zizan Razak, Raline Shah, Hasnul Rahmat dan ramai lagi, kini sedang ditayangkan di 146 pawagam di Malaysia dan Brunei.

Ia mengisahkan misi pengintipan yang diketuai Inspektor Sani lakonan Zizan dan Inspektor Khai (Shaheizy) di sebuah pulau terpencil di Pantai Timur.

Misi itu berdepan cabaran apabila sekumpulan pengganas menyerang dan menawan pulau berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here