Portal berita terbaik anda

Politik

BN makin terdesak dapatkan sokongan orang Melayu

SHAH ALAM – BN didakwa seolah-olah makin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat khususnya orang Melayu sehingga sanggup memainkan sentimen agama dan kaum untuk memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Abu Bakar Yahya menyifatkan demikian, merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam menerusi siaran video di Facebook 2 Februari lalu yang dilihat menghina Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, kenyataan Lokman itu dilihat dibuat secara membuta-tuli, sangkaan jahat selain tanpa berlandaskan fakta sebenar yang seolah-olah mahu mengelirukan rakyat melalui fitnah terhadap Perdana Menteri itu.

“Kalau dilihat menerusi video dalam Facebook itu, Lokman menuduh Perdana Menteri kononnya mengikut telunjuk DAP yang biadab dengan Raja-raja Melayu selain memanipulasikan isu pembatalan pembinaan masjid sehinggalah mempertikaikan peruntukan sekolah agama dan tahfiz.

“Bagi saya, kenyataan beliau (Lokman) ini amat keterlaluan, seolah-olah cuba menyemai kebencian rakyat terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

“Kalau pun beliau (Lokman) mahu mempertahankan bosnya (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, namun tidak perlulah beliau cuba memfitnah serta mencerca orang lain dengan cerita-cerita perkauman atas nama Islam.

“Kita ini kalau mahu berpolitik pun, ada batas, adab dan tatasusilanya apatah lagi kita ini orang Melayu dan beragama Islam. Sesungguhnya rakyat ketika ini sudah pandai menilai sesuatu perkara,” tegasnya.

Abu Bakar turut menyifatkan Lokman sebagai pemimpin yang yang dangkal kerana gagal memahami sindiran Mahathir di sebalik kerjasama Umno dengan Pas yang mungkin dianggap tidak mempunyai hala tuju yang jelas melainkan hanya untuk memburu kuasa semata-mata.

Loading...

Leave a Reply