Blue Hole berjaya ditemui di Darvel Bay, Lahad Datu

LAHAD DATU – Teluk Darvel di Lahad Datu, diyakini mampu menarik kedatangan pelancong dunia berikutan penemuan tapak selam skuba yang ikonik dikenali sebagai ‘Blue Hole’ (Lubang Biru) di Terumbu Tingkayu, di situ, baru-baru ini.

Penemuan itu direkodkan pada 14 Februari lalu oleh sekumpulan penyelam skuba termasuk penyelidik dari Taman-Taman Sabah (TTS) yang mengikuti Ekspedisi Saintifik bagi mengumpul data sumber marin di Teluk Darvel.

Lebih menarik, Blue Hole itu ditemukan dengan dua struktur lubang biru, berbanding Blue Hole lain di dunia yang hanya ada satu lubang.

“Setiap satu berkedalaman 15 meter (45 kaki) ke dasar laut,” katanya dalam satu temu bual.

Menceritakan perkara itu, Pegawai Penyelidik Kanan TTS, Nasrulhakim Maidin berkata Blue Hole seumpama itu adalah penemuan tunggal di Sabah dan berkemungkinan di Malaysia.

“Jika struktur terumbu separa tenggelam ini (seperti gua dalam air) dipromosi sebagai tapak selam skuba, ia boleh menjadi daya tarikan pelancongan hebat seperti di The Great Blue Hole of Belize (Amerika Tengah), Blue Hole Dean (Bahamas), selain Dragon Blue Hole (China).”

Menurutnya penemuan terjadi apabila peta remote sensing mengesan kawasan terumbu karang tetapi tidak menyangka tapak itu adalah Blue Hole.

“Kita teroka kedua-dua lubang dengan air biru sangat cantik. Kita menyelam menggunakan satu tangki gas sahaja,

“Pengalaman menakjubkan, apabila kita keluar dari Blue Hole itu kiri dan kanan kita lihat terasa seperti menyusuri permatang gunung di permukaan laut.

“Tempat itu boleh dibuka kepada penyelam ‘open water’ selain boleh dijadikan tapak aktiviti sea-walking,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *