Portal berita terbaik anda

Uncategorized

Bezakan hukum sambut, ucapan Krismas

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan bahawa ada perbezaan hukum antara menyambut Krismas dan hanya memberi ucapan selamat hari Krismas.

Katanya, oleh itu tidak timbul isu disebalik kenyataan Ketua Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam isu ucapan dan sambutan Krismas kerana kedua-dua pihak berbicara pada topik berlainan.

“YB Khalil menjelaskan hukum haram menyambut Krismas bagi orang Islam. Itu adalah hukum yang telah disepakati oleh semua ulama.

” Ada pun Mufti Wilayah dalam tulisan Bayan Linnas menjelaskan hukum mengucapkan ‘Merry Christmas’ atau tahniah kepada penganut Kristian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, perkara kedua ini menjadi perselisihan di kalangan ulama.

“Sebahagian ulama mengharamkan ucapan selamat Krismas kerana ia bererti perakuan terhadap kebenaran agama mereka.

“Sebahagian ulama pula mengharuskan dengan meletakkan syarat iaitu hendaklah ia hanya bertujuan memupuk hubungan perpaduan dan hendaklah tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan, memuliakan dan menyetujui agama lain,” katanya.

Justeru tegasnya beliau melihat ada yang sengaja melencongkan maksud sebenar kenyataan Mufti Wilayah yang mengharuskan dengan meletakkan seolah ucapan selamat hari Krismas adalah ungkapan yang sunat dan digalakkan untuk dituturkan.

“Perlu diingat ia adalah keharusan dan bukannya galakan. Sesuatu hukum yang harus boleh berubah menjadi sunat disebabkan perubahan keadaan dan tujuan seumpama dengan tujuan dakwah,” katanya.

Jelasnya, memupuk keharmonian beragama bukannya dengan menurut segala kehendak agama berlainan dalam perayaan keagamaan tetapi dengan menghormati mereka dan memberikan hak kepada mereka untuk menyambut perayaan agama mereka.

“Islam meletakkan hubungan antara muslim dan bukan muslim dalam ruang lingkup yang sangat luas iaitu “berkebajikan dengan mereka dan melakukan keadilan” dalam semua aspek kehidupan selagi mereka tidak memerangi Islam dan umatnya,” katanya.

Katanya lagi, hubungan kasih sayang sesama insan perlu terus dibina dan dipupuk menerusi pelbagai lagi aktiviti kehidupan seharian melibatkan hubungan persahabatan, kejiranan dan urusan hidup.

“Itulah yang diajar oleh Islam. Ia tidak diukur hanya pada ruang yang sempit iaitu sambutan perayaan bersama antara penganut agama berbeza,” katanya.

Katanya lagi, masyarakat Islam di Malaysia telah menunjukkan contoh yang baik dalam bergaul dengan bukan Islam sejak ratusan tahun dalam pelbagai aspek kehidupan

“Ia sesuatu yang boleh dibanggakan. Maka tidak perlu ada yang terlebih lajak kepada sambutan perayaan bukan Islam yang melibatkan ritual beragama kerana ia melibatkan hukum terlarang dalam agama,” katanya.

Jelasnya, Islam agama yang memupuk keharmonian bermasyarakat. Islam juga menjelaskan batas perhubungan apabila melibatkan ritual beragama.

Loading...

Leave a Reply