Portal berita terbaik anda

Politik

Menteri perlu diberi kelonggaran guna jentera kerajaan ketika berkempen – Nik Nazmi

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi kelonggaran kepada ahli Kabinet menggunakan jentera kerajaan ketika turun melawat kawasan pilihan raya kecil (PRK) demi menjaga keselamatan mereka.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hal itu bagi mengelakkan insiden serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berulang pada masa akan datang.

“Menteri dapat kemudahan pengiring keselamatan bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku dan SPR perlu memberi kelonggaran untuk mereka mengunakannya ketika melawat kawasan PRK.

“Contohnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menaiki helikopter swasta ketika melawat PRK Cameron Highlands sedangkan kalau guna jentera kerajaan lebih terjamin keselamatan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Mesra Rakyat (PMR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Kelmarin, tular sebuah klip video memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ahli Parlimen Muar itu kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way selepas mendakwa dikasari dan diugut Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.-UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply